Sabtu, 30 Januari 2016

DAP gesa peguam negara bantu Switzerland siasat skandal 1MDB

THE MALAYSIAN INSIDER

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua menggesa semua pihak berkuasa Malaysia menggandakan usaha mereka dalam membongkar kebenaran di sebalik skandal 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insider, 30 Januari, 2016.Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua menggesa semua pihak berkuasa Malaysia menggandakan usaha mereka dalam membongkar kebenaran di sebalik skandal 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insider.
 
 
DAP menggesa Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali membantu pihak berkuasa Switzerland yang kini mendakwa AS$4 bilion disalahgunakan menerusi syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 
 
Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, tindakan Apandi menghulurkan bantuan kepada Switzerland dalam siasatan mereka jika berlaku, akan mengikis persepsi peguam negara Malaysia dilihat berat sebelah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Saya menyeru Tan Sri Apandi Ali memenuhi kewajipan Malaysia di bawah perjanjian antarabangsa bantuan perundangan bersama untuk bekerjasama dengan agensi penyiasat asing dalam membekalkan semua maklumat yang diperlukan dalam skandal rasuah dan korupsi," kata ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu dalam kenyataan hari ini.

Pihak berkuasa di Switzerland yang menyiasat 1MDB mendapati kira-kira AS$4 bilion (RM16.8 bilion) daripada syarikat Malaysia disalahgunakan, dengan sebahagiannya dipindahkan ke beberapa bank Swiss oleh pegawai dari Malaysia dan Emiriyah Arab Bersatu, lapor The Wall Street Journal (WSJ), hari ini. 
 
Pejabat Peguam Negara Switzerland berkata mereka menemui 4 kes salah laku jenayah antara 2009 dan 2013 “menggunakan struktur kewangan yang kompleks”.

“Jumlah yang disyaki disalahgunakan ialah kira-kira AS$4 bilion,” kata akhbar itu memetik Pejabat Peguam Negara Switzerland sebagai berkata.

Mengulas perkara ini, Pua menggesa semua pihak berkuasa Malaysia menggandakan usaha mereka dalam membongkar kebenaran di sebalik skandal terbesar di Malaysia ini.


Tiada ulasan: