PETALING JAYA,  DAP dalam dilema, apabila ahlinya sendiri tidak selesa dengan cadangan 50 peratus ahli baru terdiri daripada orang Melayu dan bumiputera dari Sabah serta Sarawak.

 

Pengarah Strategi DAP, Dr Ong Kian Ming berkata, cadangan sedemikian adalah strategi baik bagi mengurangkan “pandangan cauvinis” yang dipaparkan parti itu, namun beliau mengakui berdepan masalah tentangan dalaman.

“Apabila niat seperti ini dibentangkan dalam parti, ada ahli yang tidak selesa dengan cadangan ia (parti) mahu mencapai sasaran keahlian 50 peratus orang Melayu dan bumiputera.

“Kami mahu mengurangkan persepsi di kalangan pengundi Melayu, supaya kami boleh meraih lebih banyak undi Melayu melalui penambahan keahlian Melayu, tetapi mendapat tentangan dalaman,” katanya pada forum “Mampukah parti pembangkang meraih undi Melayu pada PRU14?”, semalam.

Bagaimanapun, jelasnya, selain tentangan dalaman, DAP juga berdepan rintangan luaran, kerana orang luar juga mungkin tidak selesa dengan cadangan itu.

Ong memberi contoh apa yang berlaku semasa konvensyen kepimpinan Pakatan Harapan (PH) yang diadakan baru-baru ini, di mana ahli Parti Amanah Negara (Amanah), Zulkefly Ahmad berkata, DAP tidak patut meletak calon Melayu di kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri Johor.

“Itulah dilema luar yang perlu diatasi, jika DAP dan pembangkang mahu memenangi lebih banyak undi Melayu pada PRU14,” katanya.

Beliau menyuarakan sentimen-sentimen itu, ketika ditanya pandangan mengenai DAP perlu memperbaiki imejnya.

Ong bersetuju bahawa persepsi seperti DAP adalah anti-Melayu, anti-Islam dan pejuang hak orang Cina bukanlah sesuatu yang baru dan parti itu juga mempunyai sejarah dilabelkan sebagai “momok”.

Merujuk kajian yang dijalankan pemikir Institut Darul Ehsan (IDE), 64 peratus daripada 1,716 responden Melayu di Selangor bersetuju bahawa DAP adalah sebuah parti anti-Melayu dan anti-Islam.

Ong berkata, angka itu membimbangkan dan beliau bersetuju persepsi itu perlu ditangani.

Menurutnya, cabaran parti itu adalah mengubah imej dan persepsi berkenaan, namun ada beberapa “syarat”.

“Salah satu syarat ialah kita tidak boleh menembak diri di kaki. Ini termasuk pemimpin DAP yang telah beberapa kali mengeluarkan kenyataan melukakan hati orang Melayu secara tidak sengaja.

“Kebanyakannya ada kaitan dengan kesedaran pemimpin DAP terhadap isu-isu sensitif di kalangan pengundi Melayu,” katanya.