Khamis, 14 Januari 2016

DAP akan paksa Azmin gugurkan prinsip 'bersetuju untuk tidak bersetuju' ?

 Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic


SHAH ALAM: Prinsip bersetuju untuk tidak bersetuju yang tidak lagi digunapakai dalam Pakatan Harapan secara langsung memberi 'manfaat' kepada DAP, demikian menurut Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Sallehin Mukhyi.

Beliau berpendapat Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bakal ditekan oleh DAP supaya tidak menggunapakai prinsip itu di dalam pentadbiran kerajaan negeri yang turut dianggotai oleh PAS.
 
Sallehin yang juga bekas exco kerajaan negeri berkata demikian sebagai mengambil kira pengalaman yang terpaksa dilalui PAS di dalam pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini.
 
"Saya boleh agak... Dalam soal mendesak pun, sebelum ini DAP pun pernah mendesak keluarkan PAS daripada pentadbiran kerajaan negeri, sebagaimana Lim Guan Eng minta suatu ketika dahulu. Namun atas keprihatinan MB terhadap keperluan mempertahankan legasi Pakatan Rakyat dahulu yang tidak ada apa-apa masalah. 
 
"Saya percaya bahawa MB kemungkinannya menerima tekanan dalam hal itu. Dan PAS bersedia dengan apa sahaja kemungkinan yang berlaku di Selangor," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Mahu Azmin tegas dalam pentadbiran kerajaan negeri tanpa mencampuri perihal perjanjian itu, Sallehin turut mengingatkan pendirian menteri besar yang sebelum ini tidak mengisytiharkan Pakatan Harapan di Selangor.
 
"Sebagaimana kenyataan Azmin bahawa tiada tempat PH di Selangor, sebaliknya PR sebagaimana parti-parti yang menang pada PRU-13, pada saya tidak timbul soal PH dalam konteks pentadbiran negeri," ujarnya. 
 
Sallehin berkata demikian sebagai mengulas perjanjian Pakatan Harapan yang ditandatangani pada Sabtu lalu di antara PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN).
 
Merangkumi tujuh fasal utama, perjanjian tersebut menyentuh prinsip keputusan bersama; pembinaan kesatuan politik; penyelesaian pertikaian; dasar-dasar bersama; perjalanan pilihan raya; perjalanan kerajaan dan pembangkang dan keabsahan pakatan.
 
Pakatan itu juga bersetuju mengenai prosedur membuat keputusan membabitkan gabungan itu, termasuk calon pilihan raya dan meletakkan Majlis Presiden sebagai badan pembuat keputusan tertinggi gabungan itu dengan segala keputusan bersama adalah berasaskan kepada prinsip konsensus. 
 
Selain itu sebarang perbezaan pendapat, percanggahan, ketidakpuasan hati atau bantahan dari satu parti terhadap parti sekutu perlu disuarakan mengikut saluran dalaman untuk diselesaikan secara bersama. 
 
Merujuk prinsip bersetuju untuk tidak bersetuju yang tidak lagi diamalkan di dalam PH, Sallehin berpendapat akan timbul lebih banyak pertembungan antara PKR-DAP-PAN dalam pelbagai isu memandangkan setiap parti membawa agenda politik yang berbeza.
 
"Ia satu keputusan yang selepas ini menyaksikan lebih banyak pertembungan sebab tiada penghormatan terhadap prinsip-prinsip yang dibawa oleh parti-parti lain di dalam PH. 
 
"Dalam kenyataan-kenyataan PH juga kita nampak DAP cuba menjadi 'king maker' dalam keputusan yang akan dibuat, walaupun ia memerlukan kebersamaan," kata ADUN Sabak itu lagi.
 
Menerusi perjanjian itu juga, tiga parti berkenaan sepakat bahawa parti majoriti berhak menyingkirkan parti minoriti jika mereka melanggar perjanjian.
 
 

Tiada ulasan: