Jumaat, 8 Januari 2016

Caj urusan tanah Pahang naik 200 peratus!

zulpuri

Oleh Fatih Hassan Nordin



PAHANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mentakab, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji membidas kerajaan Pahang kerana menaikkan caj urusan di pejabat tanah sehingga 200 peratus lantaran ia tidak munasabah.

Malah, katanya, tindakan itu seolah-olah tidak mengendah keperitan rakyat yang sedia ada terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup yang melambung tinggi akibat ketirisan dan pembaziran Kerajaan BN UMNO.

“Kerajaan negeri tidak patut menaikkan caj berkenaan, lebih-lebih lagi rakyat dihimpit dengan kenaikan pelbagai kos sara hidup, kejatuhan nilai ringgit serta harga komoditi yang teruk.

“Kenaikan 200 peratus tidak manusabah kerana ia menekan rakyat marhaen. Keborosan, salah guna kuasa dan ketirisan dibuat pemimpin yang korup tapi akhirnya semua risikonya rakyat yang kena tanggung,” katanya kepada Roketkini.

Sebelum ini, Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam) pada kenyataan media menyatakan caj urusan di pejabat tanah seluruh Pahang mengalami kenaikan sehingga 200 peratus.

Antaranya, caj RM100 untuk setiap carian berbanding kadar lama RM30, carian persendirian naik daripada RM20 kepada RM50 dan urusan salinan sah hak milik dokumen naik daripada RM30 kepada RM50.

Caj urusan pendaftaran pindah milik tanah bernilai RM100,001 hingga RM250,000, kadarnya ialah RM400 berbanding RM250 sebelum ini manakala, hartanah bernilai RM250,001 hingga RM500,000, bayarannya RM800 berbanding sebelumnya RM500.

Justeru, Tengku Zulpuri menggesa supaya kerajaan Pahang mempertimbang untuk mengemas kini sistem data sedia ada bagi mengelakkan peningkatan ‘menggila’ dan menggunakan sistem atas talian bagi menjimatkan kos urusan di pejabat tanah.

“Untuk tambah pendapatan kerajaan negeri, bukanlah dengan cara naikkan caj perkhidmatan, sebaliknya menggunakan sistem atas talian dan kemas kini sistem sedia ada. Ini bagi mengurangkan guna tenaga manusia,” katanya.

Jika kerajaan Pahang gagal menangani masalah berkenaan, beliau menyeru semua pengundi menolak Kerajaan UMNO BN pada pilihan raya akan datang berikutan kehidupan rakyat tidak diambil berat. -Roketkini.com


Tiada ulasan: