Khamis, 14 Januari 2016

Bisnes 'Kencang' Di Sebalik Kereta Mewah 'Luput Usia'

Oleh: KATHLEEN ANN KILI
 
 
 
 
 
EKSKLUSIF  JOHOR BAHRU: Kereta yang sudah berusia 10 tahun dianggap tidak selamat dan tidak layak dipandu di Singapura.

Dan, dengan cukai yang perlu dibayar selepas separuh jangka hayatnya, adalah sesuatu yang masuk akal untuk kereta-kereta yang sudah melepasi usia lima tahun dan dianggap 'luput usia' di jalan raya di negara itu diganti baharu.

Bagi orang perantaraan di Malaysia, itu adalah satu peluang keemasan.

Mereka yang bertindak sebagai orang tengah ini membeli kereta-kereta mewah tersebut pada nilai rendah di republik itu, membawanya ke Malaysia, menghasilkan dokumen palsu - dikatakan dengan bantuan pegawai yang mengambil suapan dan menjual kereta pada harga yang menarik perhatian pembeli di sini.

Terdapat pembeli Malaysia yang sanggup mengambil risiko membeli kereta mewah itu, kerana harganya masih jauh lebih murah berbanding harga yang ditawarkan oleh penjual kereta berdaftar.

Kereta-kereta tersebut rata-ratanya berharga hampir 10 kali lebih rendah dari harga pasaran untuk model yang sama di Malaysia.

Seorang ahli perniagaan yang hanya mahu dikenali sebagai Mike berkata pembeli sanggup mengambil risiko membeli kereta itu walaupun mengetahui mereka boleh berdepan masalah berkaitan undang-undang.

"Ia lebih murah daripada membeli sebuah kereta terpakai di Malaysia. Kereta-kereta Singapura biasanya berusia lebih lima tahun dan ia masih dalam keadaan baik," katanya.

Sebagai contoh, dia berkata kereta Mercedes-Benz terpakai yang berharga kira-kira RM80,000 di sini hanya berharga RM10,000 jika dibawa masuk secara haram dari negara itu.
"Kami berhubung dengan kenalan di Singapura dan pemandu akan dihantar ke sana untuk memandu keluar kereta, melalui dua pintu masuk, imigresen di republik itu dan juga di Johor Baru," katanya.

Kemudian, terpulang kepada pembeli jika dia mahu membuat salinan nombor pendaftaran kereta sedia ada atau melakukan pendaftaran 'di bawah meja' dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Walau bagaimanapun, kedua-duanya tetap mempunyai risiko tersendiri, dakwanya.

Mike berkata walaupun 'pengklonan' nombor pendaftaran dengan kereta lain adalah jauh lebih murah berbanding mendaftar kereta dengan JPJ, risikonya adalah lebih tinggi.

"Biasanya, mereka akan mencari model dan warna kereta yang seakan-akan sama, sebaik-baiknya dari negeri berbeza, sebelum membuat plat pendua. Dengan bantuan 'dalaman', penjual boleh mendapatkan cetakan salinan asal cukai jalan.

"Bagaimanapun, kereta itu tiada insurans yang sah. Jika JPJ menjalankan pemeriksaan terhadap nombor casis kenderaan, pemandu akan berdepan masalah," katanya.

Bagi yang mendaftar dengan JPJ, dia berkata pembeli terpaksa membelanjakan kira-kira RM15,000 sebagai pengimport kereta berlesen supaya permit boleh dikeluarkan untuk mengimport kereta.

Pegawai JPJ kemudiannya boleh membantu mendaftar kereta tersebut dan mewujudkan geran baharu. Pelanggan juga diberi pilihan untuk mendaftar kereta di bawah nombor pendaftaran yang sedang berjalan atau nombor pilihan sendiri.

Pelanggan kemudiannya boleh memohon insurans dan dengan mudah memperbaharui cukai jalan setiap tahun.

Mike berkata jika pendaftaran diklon, pembeli perlu menunggu sehingga pemilik asal memperbaharui cukai jalan sebelum ia boleh dicetak semula.

Dia mendakwa menerima purata tiga hingga lima pelanggan setiap bulan, kebanyakan daripada mereka sanggup menghabiskan purata RM25,000 untuk pelbagai kereta mewah, terutama Mercedes-Benz dan BMW.

Seorang pemandu yang membawa masuk kereta luput usia dari Singapura ke Malaysia berkata beberapa kereta mewah boleh dijual pada harga sehingga RM40,000 bersama-sama dengan geran asal kenderaan.

Proses pengklonan sahaja menelan kos kira-kira RM5,000 ke RM6,000.

Beliau berkata pembeli boleh memilih untuk mengklon pendaftaran kereta Malaysia model atau buatan sama yang telah dimansuhkan atau dari kereta lain yang sedia ada di jalan raya.

Dia mendakwa terdapat juga cara-cara untuk mengubah nombor casis kereta bagi menjadikan ia sepadan dengan geran daripada kereta Malaysia yang dimansuhkan.

Tiada ulasan: