Isnin, 11 Januari 2016

Belum ada tahap pelajar kebuluran, pecah usus– MPPUM

Dakwaan laporan berita tiga daripada empat pelajar universiti awam kelaparan tidak tepat dan hanya diperbesarkan oleh media untuk kepentingan tertentu.


fanitsyara


PETALING JAYA: Tiada pelajar yang mengadu bahawa mereka mengalami kelaparan sehingga ke tahap kebulur atau pecah usus.

Demikian tegas Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaya (UM), Fanitsyara Kam Phon ekoran laporan terdapat pelajar yang terpaksa mengikat perut di universiti akibat masalah kewangan berikutan kos sara hidup tinggi sehingga isu berkenaan menjadi viral di laman media sosial Facebook.

“Daripada pengalaman saya sendiri, tidak ada lagi yang mengadu berlapar sampai pecah usus, pengsan dan kebuluran disebabkan tidak cukup makan.

“Kami pergi ke kolej-kolej (asrama) tiada yang berlapar. Saya agak hairan apabila ada laporan mengatakan pelajar lapar sehingga usus pecah,” katanya kepada FMT.

Fanitsyara juga mendakwa laporan bahawa lebih tiga daripada empat pelajar universiti kelaparan adalah tidak tepat dan hanya diperbesarkan oleh media untuk kepentingan tertentu.

Dalam pada itu, Fanitsyara berharap supaya lebih banyak peluang dan ruang dibuka untuk memberi manfaat kepada mahasiswa bagi mengatasi masalah kos pengajian yang semakin tinggi.

Sambungnya, bantuan seperti pinjaman modal untuk mahasiswa yang ingin berniaga dalam kampus boleh dipertimbang agar dapat melahirkan lebih ramai usahawan muda di samping meningkatkan kebolehpasaran mahasiswa.

“Selain itu alumni universiti juga boleh membantu mengatasi permasalahan yang wujud di kampus,” katanya.

Sebelum itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh memberi jaminan bahawa akan memastikan nasib pelajar di universiti awam yang mempunyai masalah kewangan hingga menyebabkan mereka kelaparan akan dibela.

Beliau juga pada masa sama telah mengeluarkan arahan kepada pihak pentadbiran universiti termasuk Pejabat Timbalan Naib Canselor (TNC) dan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) mengenal pasti setiap pelajar yang menghadapi masalah kewangan dan melaporkan segera kepada beliau dan pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Tiada ulasan: