Ahad, 31 Januari 2016

Bakal calon MB Kedah ada kelebihan

Bakal calon MB Kedah ada kelebihan
Muka depan Sinar Harian 31 Januari 2016


ALOR SETAR - Makin lama makin banyak kejutan yang berlaku dalam penantian yang penuh debaran untuk mengetahui calon bertuah dan bakal menduduki kerusi Menteri Besar (MB) Kedah. 

Ruang masih terbuka untuk mana-mana Adun Umno yang difikirkan layak mengisi jawatan itu berikutan kenyataan Perdana Menteri dan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa mesyuarat Majlis Tertinggi memutuskan akan memaklumkan calon pengganti dalam tempoh terdekat.

Yang pasti, Kedah akan mendapat MB baharu dapat tempoh beberapa hari lagi.

Ini kerana Najib memberi jaminan akan mempertimbangkan permintaan 14 Ketua Umno Bahagian di Kedah yang mahu Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilucutkan daripada jawatan MB.

Kemelut bermula 20 Januari lalu apabila kepemimpinan Umno Kedah dan wakil rakyatnya menyuarakan pendirian hilang kepercayaan terhadap Mukhriz sebagai Pengerusi Umno Kedah dan MB.

Timbalan Pengerusi Umno negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang mewakili semua pemimpin berkenaan merayu Najib segera campur tangan dalam menyelesaikan kemelut berkenaan.

Menurutnya, seluruh kepemimpinan negeri hilang kepercayaan kepada MB berikutan beberapa kelemahan serta ketidakupayaannya memimpin parti dan mentadbir negeri ini.

Ketika itu, nama Ahmad Bashah disebut-sebut sebagai calon paling layak untuk mengambil alih pentadbiran daripada Mukhriz dengan alasan pemimpin senior dan lama menjadi wakil rakyat.

Dua hari kemudian timbul pula desas-desus nama baharu yang bakal mengisi jawatan itu - ketiga-tiganya adalah exco yang sedang berkhidmat dalam pentadbiran kerajaan negeri sekarang.

Ia membabitkan Adun Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Rahman Ku Ismail yang juga Exco Industri dan Pelaburan, Adun Ayer Hangat, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid (Exco Agama dan Pelancongan) dan Adun Tanjong Dawai, Datuk Tajul Urus Mat Zain (Exco Pendidikan dan Pengangkutan).

Kemudian nama mereka tenggelam dibawa angin lalu dan timbul kembali nama Ahmad Bashah sebagai calon pilihan.

Bagaimanapun, sebaik sahaja Najib selesai menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah di Istana Darul Aman di Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur pagi kelmarin (Jumaat), timbul lagi spekulasi nama baharu membabitkan Timbalan Speaker Dun Kedah, Datuk Azmi Che Hussain selain Ku Rahman dan Mohd Rawi.

Sungguhpun nama mereka disebut bakal YAB, Ku Rahman dan Mohd Rawi bijak mengelak diri daripada media dan enggan memberi sebarang komen atau kenyataan.

Selepas selesai Istiadat Penganugerahan Pingat dan Darjah Kebesaran sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-88 di Istana Anak Bukit, kelmarin, mereka bergegas keluar untuk mengelak bertembung dengan media.

Azmi pula ketika dihubungi melalui telefon untuk ulasan hanya tersenyum dan berkata: “Tiada apa-apa pun yang nak cakap. Mari kita minum kopi di bawah pokok. Saya belanja minum.”

Sejak kelmarin, mereka menutup talian telefon atau panggilan tidak berjawab.

Sungguhpun begitu, calon terbaharu ini mempunyai kelebihan masing-masing dan mampu mengemudi Kedah ke arah Kedah Maju yang diperkenalkan oleh Mukhriz sebaik sahaja BN mengambil alih pentadbiran selepas PRU13.

Ku Rahman, 63, memiliki IJazah Doktor Falsafah (PhD) Sains dan Teknologi Getah dari Universiti Loughborough United Kingdom dan menjadi Adun selama dua penggal bermula 2008.

Pernah menjadi setiausaha politik dan saintis bersama Institut Kajian Getah Malaysia (RRIM).

Mohd Rawi, 48, memperolehi Sarjana Undang-undang dari Universiti Warwick, England  pernah menjadi pensyarah di fakulti undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan peguam syarie di Langkawi.   

Azmi, 54, lulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkhidmat sebagai wakil rakyat selama penggal mulai 2008. Dilantik sebagai timbalan speaker dan pengerusi jawatankuasa kira-kira wang (PAC) negeri sejak 2013.

Pernah menjadi pegawai tugas-tugas pada zaman MB Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Melihat kepada ketokohan masing-masing, seorang pemerhati politik tempatan berkata, ketiga-tiganya memang sesuai untuk memikul tugas itu tetapi ia bergantung kepada hala tuju Kedah dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Ke mana kita nak bawa Kedah selepas ini. Kita sendiri yang kena buat pilihan kerana kepakaran yang ada pada mereka boleh disesuaikan mengikut keperluan.

“Jika kita nak bawa Kedah ke arah pembangunan infrastruktur, meningkatkan pelaburan asing dan melaksanakan projek mega, orang yang sesuai ialah Ku Rahman sebab pengalaman dan pengetahuannya memang dalam bidang itu.  

“Beliau pernah menjadi wakil Malaysia dalam majlis perniagaan Malaysia di Taiwan dan beberapa badan penyelidikan lain,” katanya.

Menurutnya, Mohd Rawi mempunyai kelebihan dari segi pendidikan dan pengetahuan Islam yang sesuai jika Kedah mahu memberi fokus kepada pembangunan sekolah agama, tahfiz dan pondok.

“Anak muda ini boleh merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan Kedah sebagai gedung ilmu Islam termasuk pelbagai kursus ditawarkan Kolej Universiti Insaniah (Kuin).

"Perwatakannya yang mudah didekati menjadi aset untuk kerajaan negeri menangani isu-isu akidah termasuk menyekat penularan fahaman Syiah dan ajaran sesat lain,” katanya.

Azmi pula mampu mendekati masyarakat luar bandar dan akar umbi dengan jalinan hubungan silaturahim juga boleh menjadi aset Umno dan BN untuk menarik kembali sokongan dalam PRU14.

“Beliau lebih memahami keadaan yang berlaku di kampung. Jika sebelum ini, pendekatan kerajaan lebih kepada pembangunan urbanisasi, mungkin Azmi boleh menyeimbangkan dengan pendekatannya sebagai anak kampung,” katanya.

Sebagai contoh, katanya, Azmi mampu mengekalkan kerusi Bayu untuk BN walaupun  kali pertama bertanding ketika mengharungi tsunami politik pada tahun 2008  sedangkan dua kerusi Dun iaitu Kupang dan Kuala Ketil serta kerusi Parlimen Baling dikuasai Pas.  

“Jadi kini terserah kepada kehendak pihak atasan untuk mencorakkan Kedah dalam mengharungi tempoh mencabar sehingga PRU14.

“Pilihlah salah seorang daripada mereka yang mampu bertindak sebagai jurutera atau arkitek pembangunan Kedah dalam tempoh dua tahun akan datang sebelum menyerahkan semula mandat kepada rakyat untuk membuat penilaian,” katanya.

Bagaimanapun, seorang bekas ketua bahagian Umno berkata, jika berdasarkan perkiraan politik, Mohd Rawi lebih layak kerana menjadi Timbalan Ketua Bahagian Umno Langkawi dan Ketua Penerangan Umno Kedah.

“Jawatan semasa dalam Umno bahagian adalah kelebihan kepada Mohd Rawi untuk dipertimbangkan ke jawatan itu.

“Berbanding dengan Ku Rahman dan Azmi yang kini tidak mempunyai sebarang jawatan di peringkat bahagian.

“Mereka tewas dalam perebutan ketua bahagian pada pemilihan parti tidak lama dahulu,” katanya.

Di sebalik telahan dan teka teki mengenai calon MB Kedah, seorang rakan yang kerap berulang-alik ke Kuala Lumpur dan mempunyai hubungan rapat dengan Umno sempat berbisik ketika saya menikmati sarapan pagi di sebuah gerai di Jalan Sultanah Bahiyah pagi semalam: “Jangan terkejut kalau nama calon yang asal tetap menjadi pilihan sebagai MB”.


Tiada ulasan: