Selasa, 26 Januari 2016

Apandi bebaskan Najib dari skandal, jadi Ahli Lembaga Tabung Haji

ahmad anwar

Oleh Syazana Hasanudin


KUALA LUMPUR : Skandal RM2.6 bilion itu mungkin selesai di mata kerajaan tetapi tidak selesai di mata rakyat terutama apabila Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji.

“Sebelum ini, memang sudah banyak kontroversi melibatkan skandal itu seperti pemecatan tergesa-gesa Peguam Negara terdahulu, Tan Sri Abdul Gani Patail dan kegagalan Najib menjelaskan isu itu di Dewan Rakyat bulan lepas.

“Kini, apabila Apandi menjadi salah seorang Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji, jelas ada konflik kepentingan,” kata Penolong Setiausaha Publisiti DAPSY Johor, Ahmad Anwar Asyraf Ismail kepada Roketkini.

“Peguam Negara perlu faham bahawa ‘Not only must justice be done, it must also be seen to be done’ (Keadilan bukan sahaja dilaksanakan tetapi perlu dipastikan yang ia dilaksanakan).

“Melihat sistem urus tadbir hari ini dengan semua agensi kerajaan dikunci mulutnya, cuma tinggal satu cara untuk rakyat – mengubah pemerintah bagi memastikan kebenaran ditegakkan,” katanya.

Apandi hari ini membuat kenyataan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak melakukan kesalahan dalam skandal derma RM2.6 bilion atas alasan sejumlah RM2.03 bilion sudah dipulangkan kepada keluarga diraja Arab Saudi pada 2013.

Beliau yang dikenal pasti ada pelantikan sebagai Ahli Lembaga Tabung Haji itu kemudian mengarahkan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) menutup kes berkenaan sekalipun atas alasan rapuh.

Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Subang, Edry Faizal Eddy Yusof pula menyifatkan kenyataan Apandi kononnya wang itu sudah dipulangkan kembali kepada keluarga diraja Arab Saudi pada 2013 itu sebagai mencuriga dan melucukan.

“Ini terlampau tidak masuk akal, tidak perlu jadi orang cerdik pandai untuk menyedarinya,” kata beliau yang sama sekali tidak menyangka kenyataan ‘membodohkan rakyat’ itu menjadi penamat segala kebimbangan dan pertanyaan rakyat berhubung skandal berkenaan.

“Kita boleh lihat dari awal, perjalanan skandal itu tidak konsisten kerana terlalu banyak dolak-dalik dari pemimpin UMNO BN bagi menutup mulut rakyat, contohnya mengambil masa lama untuk menerangkan ia kononnya wang derma.

Kata Edry, rakyat perlu sedar situasi hari ini memberi kesan besar kepada kehidupan mereka kerana ia bermakna pemimpin berani melakukan perkara yang dibenci masyarakat secara terbuka tanpa mengambil peduli suara mereka.

“Ia merisaukan apabila rakyat disajikan skandal pemimpin tanpa mampu melakukan apa-apa kerana seluruh badan kerajaan berpihak kepadanya. Rakyat jangan pernah lupa bahawa Peguam Negara yang dilantik Najiblah yang membersihkan skandal itu,” katanya. -Roketkini.com

Tiada ulasan: