Jumaat, 8 Januari 2016

AMANAH JANGAN AWAL SANGAT MAHU MENGADA-NGADA...

shahbudindotcom


 
 
 
Parti Amanah dilaporkan masih menimbang sama ada mahu menerima atau tidak peruntukan lapan kerusi  ahli majlis di PBT Selangor dalam agihan baru yang dibuat baru-baru ini berikutan kurang berpuas hati dengan jumlah tersebut.

Ia susulan parti itu sebelum ini meminta diperuntukkan sekurang-kurangnya 24 kerusi ahli majlis daripada keseluruhan 288 kerusi PBT yang terdapat di negeri itu.

Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim dipetik sebagai berkata, masih menimbang sama ada mahu menerima atau menolak peruntukan lapan kerusi yang diagihkan oleh kerajaan negeri itu.

Agihan baru itu dibuat oleh kerajaan negeri pimpinan Azmin Ali berikutan kewujudan Amanah sebagai parti baru yang kini menganggotai Pakatan Harapan bersama PKR dan DAP, sementara Pas walaupun tidak menganggotai gabungan baru itu, tetapi kekal bertahalul siyasi dengan PKR.

Kerajaan negeri  pula dilaporkan enggan melayan rasa tidak puas hati Amanah itu, sebaliknya meminta mereka bersyukur kerana sekurang-kurangnya "daripada kosong, kini sudah ada lapan kerusi ahli majlis dalam PBT yang dimiliki."

Dalam hal ini, Amanah harus kembali kepada realiti. Mereka adalah parti baru yang masih belum diuji sokongan rakyat dalam mana-mana pilihanraya. Semua kerusi Parlimen atau DUN yang mereka menangi sekarang adalah atas tiket Pas.

Oleh itu, ada baiknya mereka menerima saja peruntukan lapan kerusi yang diperuntukkan itu dan membuktikan keinginan untuk bekerjasama memenangi hati rakyat terlebih dahulu melalui kemampuan dalam pilihanraya akan datang.

Amanah tidak perlu menunjukkan mereka terlalu "mengada-ngada" inginkan kerusi, jawatan dan kedudukan, sebelum kemampuan sebenar mereka diuji sama ada diterima rakyat atau sebaliknya.

Yang penting buktikan kemampuan terlebih dahulu melalui kejayaan memenangi kerusi dalam pilihanraya dan membantu rakan-rakan dalam Pakatan Harapan mengekalkan kerajaan negeri yang ada.

Kalau pun mahu "mengada-ngada"  dalam menuntut apa jua agihan, kerusi, jawatan dan ganjaran, tunggulah selepas PRU 14 nanti. 


Tiada ulasan: