Sabtu, 30 Januari 2016

AG Switzerland syaki AS$4b diseleweng, minta bantuan M'sia

Mark Hosenball, Reuters


 


Ketua pendakwa Switzerland berkata semalam bahawa beliau telah secara rasmi meminta bantuan Malaysia berhubung siasatannya terhadap kemungkinan berlaku pelanggaran undang-undang negara itu oleh firma milik kerajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pejabat Peguam Negara Switzerland Michael Lauber berkata permintaan itu adalah mengenai kemungkinan berlaku pelanggaran undang-undang negara itu yang berkaitan dengan dakwaan sogokan kepada pegawai asing, dakwaan salah laku di pejabat awam, dakwaan pengubahan wang haram dan dakwaan jenayah salah urus di 1MDB.

Awal minggu ini, Peguam Negara Malaysia telah membersihkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak daripada sebarang kesalahan jenayah atau rasuah, dengan mengisytiharkan bahawa AS$681 juta yang didepositkan ke dalam akaun bank peribadinya adalah pemberian daripada keluarga diraja Arab Saudi.

1MDB di mana lembaga penasihatnya dipengerusikan oleh Najib, telah diperiksa oleh pihak berkuasa Malaysia yang menyiasat tuduhan salah urus kewangan dan rasuah.

Syarikat tersebut diselubungi kontroversi berkaitan hutangnya sebanyak AS$11 bilion serta dakwaan salah urus kewangan.

Menurut kenyataan Switzerland itu, siasatan Lauber didakwa telah "mendedahkan tanda-tanda serius yang dana telah diselewengkan daripada syarikat milik negara di Malaysia."

Dana-dana tersebut "dikenal pasti untuk pelaburan dalam projek-projek pembangunan ekonomi dan sosial di Malaysia," kata pegawai Switzerland.

Pendakwa Switzerland berkata jumlah yang didakwa diseleweng itu disyaki sekitar AS$4 bilion (RM16.6 bilion).

Beliau berkata sebahagian kecil wang itu telah dipindahkan ke akaun yang dipegang di Switzerland oleh bekas pegawai-pegawai awam Malaysia dan pegawai serta bekas pegawai awam Emiriah Arab Bersatu
Pejabat Peguam Negara Switzerland membuka prosiding jenayah Ogos lepas terhadap dua bekas pegawai 1MDB dan juga "orang-orang yang tidak dikenali."

Kenyataan itu semalam berkata Lauber telah membincangkan kes itu dengan rakan sejawatannya dari Malaysia pada mesyuarat di Zurich pada bulan September. - [Baca berita penuh]- Reuters

Tiada ulasan: