Ahad, 31 Januari 2016

Adakah 1MDB di sebalik sumbangan RM2.6 bilion? – Tony Pua

 
Siasatan lanjut perlu dilakukan untuk menentukan sumber asal sumbangan itu susulan kenyataan terbaharu Pejabat Peguam Negara Switzerland


tony-pua,apandi,1mdb


KUALA LUMPUR: Ketua Publisiti DAP, Tony Pua mendesak siasatan lanjut untuk menentukan RM2.6 bilion yang didepositkan ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak datang daripada dana 1MDB.

Beliau mempertikaikan penemuan oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali bahawa wang itu merupakan sumbangan peribadi kepada Najib daripada keluarga diraja Saudi dan “tanpa sebarang balasan”.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu juga memetik kenyataan Pejabat Peguam Negara Switzerland, yang menyatakan mereka percaya bahawa sehingga AS$ 4 bilion kemungkinan disalahgunakan oleh 1MDB.

Pua berkata, ia sekaligus mempertikaikan kenyataan Apandi sebelum ini bahawa derma itu tiada kaitan dengan 1MDB.

“Walaupun dana yang didepositkan ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri dinyatakan datang daripada penderma misteri Arab tetapi adakah wang itu bukan asalnya daripada 1MDB,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah secara terbuka menyatakan bahawa siasatan RM2.6 bilion tidak lengkap tanpa maklumat daripada institusi kewangan luar negara.

Pua berkata, Apandi tidak dapat menyakinkan supaya menolak kemungkinan sebahagian daripada AS$4 bilion dana yang dipercayai disalahguna tidak disalurkan ke akaun Najib.

“Hubungan antara 1MDB dan Najib mesti disiasat dengan teliti berdaarkan keterangan mengikut keadaan sekeliling urus niaga,” katanya.

Pua berkata siasatan derma itu tidak boleh dikatakan lengkap tanpa menyiasat jejak wang yang melibatkan 1MDB dan syarikat-syarikat yang berkaitan dengannya seperti International Petroleum Syarikat Pelaburan Abu Dhabi, anak syarikat pelaburan Aabar , Tanore Finance dan Falcon Bank.

Beliau juga menggesa Peguam Negara menunaikan permintaan SPRM untuk mendapatkan bantuan undang-undang pihak berkuasa kawal selia antarabangsa dengan segera.

Tiada ulasan: