Khamis, 14 Januari 2016

Ada ahli DAP tak senang ramai Melayu masuk DAP

 
Sesetengah ahli dan pemimpin DAP tidak senang dengan usaha menarik Bumiputera menyertai parti itu.


malay-dap


PETALING JAYA: Usaha DAP menarik lebih ramai orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak menyertai DAP tidak disenangi segelintir pemimpin dan ahli parti sendiri, kata Pengarah Strategi Pilihan Raya DAP, Dr Ong Kian Ming.

Beliau berkata, kebanyakan pemimpin DAP mahu lebih banyak orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak menyertai parti itu.

“Tetapi apabila cadangan untuk menambah ahli Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak sehingga 50 peratus keahlian parti dibentangkan di peringkat dalaman, ada pemimpin dan ahli sendiri yang mungkin tidak begitu senang dengannya.

“Dan jika kami berjaya tambah keanggotaan, mungkin ada juga pihak di luar yang tidak merasa tidak senang,” katanya lagi dalam forum bertajuk ‘Mampukah parti pembangkang memenangi undi Melayu pada PRU 14′ di sini malam tadi.

Beliau merujuk cadangan Timbalan Ketua Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Zulkefly Ahmad agar DAP tidak meletakkan calon Melayu bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Beliau menyifatkan perkara ini sebagai ‘dilema dalaman dan luaran’ yang dihadapi DAP dalam usaha mengurangkan persepsi negatif dalam kalangan pengundi Melayu.

“Dan ini mesti ditangani sebagai satu cabaran jika DAP dan rakan dalam Pakatan Harapan mahu memenangi lebih banyak undi Melayu pada PRU akan datang,” katanya lagi.

Tiada ulasan: