Selasa, 19 Januari 2016

75 ditahan ekoran serangan di Pasar Borong Selayang

 
Khabar angin dan maklumat palsu hanya akan menimbulkan lebih banyak kekacauan.


ACP R Munusamy


KUALA LUMPUR: Polis menahan seramai 75 orang berikutan insiden serangan di Pasar Borong Selayang baru-baru ini.

Ketua Polis Sentul, ACP R Munusamy berkata, melalui penahanan itu diharap tidak ada lagi apa-apa kejadian berlaku kerana siasatan sedang dijalankan.

“Kami meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat palsu dengan mengatakan bahawa terdapat lima hingga enam orang India telah dibunuh. Khabar angin seperti itu hanya akan menyebabkan lebih banyak kekacauan.

“Kita telah menahan warga asing yang membawa senjata ke dalam Pasar Borong Selayang dan keselamatan di pasar itu terjamin ekoran adanya kawalan ketat pada setiap masa,” katanya yang dipetik dari The Star Online.

Munusamy memberitahu, pihaknya ada menempatkan dua orang anggota di pondok polis di pasar itu bagi melakukan pemantauan.

Pada 13 Januari lalu, media melaporkan seorang lelaki berusia 20 tahun ditahan kerana melepaskan tembakan di pasar berkenaan sehingga mencederakan seorang pengunjung berumur 34 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun.

Suspek ditahan di Batu Caves pada hari berikutnya.

Dalam kejadian berasingan, lima lelaki yang menaiki dua buah kereta telah melepaskan tembakan secara rambang sebelum melarikan diri.

Suspek turut memukul dua warga Myanmar yang merupakan pekerja di pasar borong berkenaan.

Dalam pada itu, polis menafikan dakwaan mengenai pertembungan antara dua kumpulan iaitu lelaki India dan warga Myanmar di pasar berkenaan.

Tiada ulasan: