Selasa, 26 Januari 2016

195,000 perusahaan kecil hilang jika laksana TPPA

lim guan eng tppa

Oleh Hafiz Zainuddin


KUALA LUMPUR : Mengulangi pendirian menolak Perjanjian TPPA di Parlimen hari ini, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menggesa kerajaan membuat penilaian secara objektif mengenai kos dan faedah penyertaan Malaysia dalam perjanjian itu.

Selain membangkitkan kebimbangan kesan terhadap harga perubatan, harta intelek, alam sekitar dan hak buruh, Ahli Parlimen Bagan itu juga mengetengah tiga perkara utama yang perlu diberi perhatian.

Pada sesi perbahasan Parlimen, Setiausaha Agung DAP itu berkata isu pertama ialah kesan terhadap industri kecil dan sederhana (IKS) ataupun small and medium enterprises (SMEs).

“Bantuan dari segi kewangan dan juga bantuan teknikal mesti diberi kepada SME yang kecil untuk menyediakan mereka untuk persaingan akibat TPPA.

“Jikalau kerajaan tidak ada sebarang langkah mitigasi yang dirancang terperinci, khusus dan sistematik, bagaimana SME boleh mempercayai jaminan TPPA akan membawa kesan positif kepada mereka?”

Guan Eng merujuk kenyataan Presiden Persatuan IKS Malaysia, Michael Kang yang menyatakan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada 195,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia akan gulung tukar selepas TPPA dilaksana.

Kebimbangan kedua, katanya, ialah Investor State Dispute Settlement (ISDS) yang melibatkan kerajaan negeri boleh diheret ke Tribunal Antarabangsa lantaran tiada jaminan kukuh kes ISDS yang melibatkan kerajaan negeri, tidak dibawakan ke tribunal antarabangsa.

“Dana dan kepakaran kerajaan negeri terhad sedangkan kes di Tribunal Antarabangsa memakan kos yang tinggi. Sebagai contoh, kes melibatkan undang-undang terhadap pembungkusan kotak rokok di Australia, walaupun menang, memakan kos AUS$50 juta,” katanya.

Perkara ketiga, beliau berkata ialah perolehan kerajaan dari segi ketelusan kerana kononnya salah satu kebaikan TPPA yang diumumkan kementerian ialah ketelusan dan anti-rasuah. Sedangkan, kontrak perundingan terus tetap diamal selepas perjanjian itu. -Roketkini.com


Tiada ulasan: