KUALA LUMPUR,  Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur esok, mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, susulan ucapan yang dimuat naik ke blognya pada 2 September lalu.


Zaid didakwa menggunakan aplikasi Internet secara sedar untuk membuat pernyataan dengan niat bagi menyakitkan hati orang lain dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira jam 2.15 petang tadi, dengan ditemani dua peguamnya dan beredar setengah jam kemudian.

Zaid berkata, beliau dipanggil ke IPD Dang Wangi untuk memberi keterangan dan gambar berkaitan blog mengandungi ucapannya, kerana menyokong bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.

“Saya bersedia untuk sebarang kemungkinan.

“Kita dalam negara demokrasi, mesti ada hak untuk menyuarakan pandangan demi kebaikan negara,” katanya ketika ditemui media di luar IPD Dang Wangi, petang ini.

Ucapan Zaid itu turut dimuat naik ke blognya www.zaid.my yang bertajuk ‘Rally Behind Tun Mahathir Mohammad’.

Bulan lalu, Zaid dipanggil memberi keterangan berhubung perkara sama dan disiasat di bawah Akta Hasutan.