Khamis, 10 Disember 2015

Zahid: Dana RM2.6b sumbangan pimpinan negara Islam

ANTARAPOS.COM


Post Pic


KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pihak yang menyalurkan dana RM2.6 bilion kepada akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak adalah pimpinan sebuah negara Islam.

Zahid berkata identiti penyumbang itu terpaksa dirahsiakan dan dana itu adalah untuk memperkasakan agenda Islam yang diperjuangkan Umno.

“Orang yang beri ini bukan individu. Tetapi saya tidak mahu menyebutkan (sebab penderma tidak mahu didedahkan), belau dipetik berkata oleh Agenda Daily.

“Pimpinan kerajaan itu telah memberikan jumlah dana yang lebih besar dan banyak kepada negara Islam yang lain.

“Kenapa perlu dipertikaikan keikhlasan itu? Dan negara itu tidak minta kontrak atau projek daripada kita.
“Patutnya kita berterima kasih kerana negara itu tidak minta apa-apapun.

Zahid berkata sumbangan itu disalurkan kepada Najib sebagai pemimpin utama Umno di atas “kebolehpercayaan kepada Umno sebab Umno boleh membawa Islam, kerana Umno menentang mazhab-mazhab di luar Ahli Sunnah Wal Jamaah.”

Zahid yang juga Naib Presiden Umno berkata sejak awal bila isu ini timbul pendiriannya konsisten yakin kepada Perdana Menteri.

Katanya, soal memperolehi dana politik ini dilakukan oleh semua parti politik.

Beliau kesal kerana ada pihak terus mempertikaikan sumbangan yang diterima itu.

“Seharusnya kita membantu, bukan mempertikaikan. Sudahlah kita tidak membantu, kita mempertikaikan pula orang yang memperolehi dana berkenaan dan memberikan pengagihan untuk memperkuatkan parti,” katanya.

Menurut Zahid, sekalipun sudah diperjelaskan oleh Perdana Menteri tetapi oleh kerana ianya dipertikaikan maka persepsi itu terus membongkah dengan besar.

“Apabila kebencian itu ditanamkan, maka sebarang realiti dan kebenaran itu tidak diterima lagi. Dan inilah permasalahan yang timbul,” katanya.

Awal minggu ini, Najib memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) mengenai dana itu yang dimasukkan dalam akaunnya oleh penderma berkenaan.

SPRM sebelum ini mengesahkan ia sudahpun mengambil keterangan daripada penyumbang Timur Tengah itu. Siasatan badan itu juga mengesahkan dana berkenaan bukan wang 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

Kepada soalan mungkin orang terkejut ini pertama kali dengar sumbangan sebesar itu, Zahid membangkitkan kisah selepas Tun Dr Mahathir Muhamad meletakkan jawatan.

Katanya, bekas Perdana Menteri itu disebut dalam Transparency International sebagai berkata RM1.2 billion diserahkan kepada pengantinya Tun Abdullah Badawi.

“RM1 billion dalam bentuk aset dan RM200 juta dalam bentuk tunai. Kita pun boleh tanya dengan Dr Mahathir mana dia dapat duit itu?

“Lima kali pilihan raya di zaman beliau tentu orang pun boleh bertanya tetapi tidak mahu tanya sebab kita hormat.”

“Kita serah pada dia sebagai pemimpin ketika itu. Dari sumber mana dia dapat, asalkan ia mengikut undang-undang dan tata-etika dan ini harus dihormati oleh semua,” kata Zahid.

Tiada ulasan: