Khamis, 31 Disember 2015

Wujud sumber pendapatan baru hadapi kegawatan menjelang 2016 - Penganalisis

Oleh Muhammad Asyraf Azlan

 
Post Pic



SHAH ALAM: Masyarakat disaran mewujudkan sumber pendapatan baru menjelangnya tahun baru bagi menghadapi cabaran ekonomi 2016 yang dijangkakan akan mengalami kemerosotan kata penganalisis ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai.

Katanya, setiap isi rumah perlu mencari sekurangnya satu peluang sumber pendapatan baru seperti mewujudkan perniagaan online.

"Kita perlu memikirkan apa sumber pendapatan baru yang kita cuba boleh dapat dan ini kita boleh fikirkan melalui kewujudan peluang perniagaan.

"Setiap keluarga bina sebuah laman sesawang untuk mewujudkan peluang pemasaran dan apa yang boleh diketengahkan sebagai sumber baru ekonomi keluarga," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.

Menurut Barjoyai, ekonomi Malaysia menjelang 2016 ini di dalam keadaan menurun berikutan susutnya nilai ringgit dan juga penurunan harga minyak dunia.

Sebelum ini, ekonomi dijangkakan akan menghadapi penyusutan menjelang 2017 namun keadaan ekonomi yang getir pada masa kini berkemungkinan kegawatan akan berlaku lebih awal.

"Ekonomi Malaysia ini sedang dalam proses menurun untuk menghadapi kegawatan.

"Jadi sepatutnya kegawatan akan berlaku pada tahun 2017 seperti yang dianggarkan tapi nampaknya dengan penyusutan nilai ringgit dan penurunan harga minyak kegawatan mungkin berlaku labih awal dan dia akan sampai paling dalam dasar lebih awal di akhir tahun 2016," ujarnya.

Barjoyai berpendapat cabaran paling besar kepada kerajaan adalah belanjawan negara terpaksa dirombak semula.

Katanya, jika belanjawan tidak dirombak ia akan menyebabkan defisit negara meningkat dan sekali gus kerajaan akan tersisih dari rancangan ingin menurunkan defisit tahunan.

"Cabaran yang paling getir sekali adalah belanjawan negara mungkin terpaksa dirombak semula kerana kita akan menghadapi kekurangan pendapatan berbanding dengan apa yang dianggarkan.

"Jika tidak dirombak akan menyebabkan defisit meningkat dan kita akan tersisih daripada apa yang kita rancangkan untuk menurunkan defisit tahunan," tegasnya.

Beliau menjangka negara akan melihat pemulihan ekonomi menjelang 2017.

Tiada ulasan: