Rabu, 23 Disember 2015

Warga PDRM dilarang viralkan maklumat keselamatan

SINAR HARIAN


Viral
Gambar Hiasan. 

SANDAKAN - Anggota polis diingatkan untuk tidak viralkan maklumat berkaitan keselamatan dan ketenteraman awam melalui aplikasi media massa. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Fadzil Mohd Ali berkata, penyebaran maklumat sedemikian yang belum pasti kesahihannya menimbulkan perasan resah kepada masyarakat. 

"Ia juga boleh memberi kesan kepada pembangunan ekonomi dan sosial di negara kita. 

"Kita hendaklah menjauhi budaya kerja yang boleh menjejaskan kredibiliti dan kepercayaan orang ramai terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya pada perhimpunan bulanan Polis Daerah Sandakan di sini, hari ini. 

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua warga PDRM menjauhi budaya sumpama itu kerana ia jelas melanggar peruntukan undang-undang di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972. 

"Sebagai agensi penguatkuasaan, kita harus sentiasa mempamerkan prestasi tugas serta disiplin yang mantap kerana masyarakat memerhatikan kita," katanya. 

Beliau berkata harapan mereka adalah menjadi tanggungjawab anggota PDRM untuk sentiasa bersedia dan memberikan perkhidmatan dengan baik dan efisien. - Bernama


Tiada ulasan: