Ahad, 6 Disember 2015

Utusan rayu Sultan Johor kaji semula pengharaman vape

THE MALAYSIAN INSIDER

Utusan Malaysia mempersoalkan langkah Sultan Johor mengharamkan vape, dengan berkata arak yang lebih memudaratkan tidak diharamkan pula. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 6 Disember, 2015. 
Utusan Malaysia mempersoalkan langkah Sultan Johor mengharamkan vape, dengan berkata arak yang lebih memudaratkan tidak diharamkan pula. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim. 
 
 
Akhbar Mingguan Malaysia hari ini merayu Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengkaji semula keputusannya mengharamkan rokok elektronik atau vape di negeri itu.

Awang Selamat di ruangan pojok kumpulan pengarang berita akhbar milik Umno itu berkata, buat masa ini, Johor satu-satunya negeri yang mengharamkan vape.
"Setakat ini negeri-negeri lain tidak mengikut jejak Johor.

"Lagipun, beberapa langkah yang diambil Kementerian Kesihatan berhubung isu vape, nampak meyakinkan termasuk larangan yang sama sebagaimana dikenakan ke atas penghisap rokok dan kawalan terhadap perisa serta harganya. 
 
"Dengan kata lain, tentu ada penyelesaian terbaik sebagaimana kerajaan dan pihak berkuasa menangani gejala rokok mahupun arak.

"Kedua-duanya, lebih-lebih lagi arak, begitu memudaratkan namun tidak diharamkan di negara ini termasuk Johor," tulis Awang dalam akhbar edisi Ahad akhbar Utusan Malaysia itu.

Awang melahirkan keyakinan Sultan Johor mengambil keputusan itu atas dasar keprihatinan baginda terhadap keselamatan dan kesihatan penduduk negeri itu.

Namun katanya, ia "mengejutkan", terutama di kalangan pengguna rokok elektronik itu dan ramai yang membantah dalam diam sementara ada yang memberikan reaksi secara berhati-hati.

Walaupun tidak kurang yang menyokong keputusan tersebut kerana bimbang terjadi penyalahgunaan, Awang berkata, baginda wajar mendapat reaksi sebenar.

"Apatah lagi diumumkan sendiri Sultan Johor, sesuatu yang mengundang tanda tanya: sesuaikah baginda sendiri berbuat demikian?

"Lagipun, sebelum sebarang keputusan besar dibuat, sewajarnya ia melalui kajian lengkap terlebih dahulu," kata Awang.

Sambil mengakui wujud beberapa insiden salah laku membabitkan penggunaan vape, akhbar itu berkata tidak bermakna seluruh penghisap dan peminat rokok elektronik itu, rata-ratanya orang muda, perlu dihukum.

Pengusaha vape juga, katanya, akan turut menanggung akibatnya.

"Kasihanilah mereka, sekadar mahu mencari rezeki pada era ekonomi dan kos sara hidup yang mencabar kini.

"Golongan itu bukan menjalankan aktiviti premis judi haram, yang sepatutnya menjadi musuh utama kita semua," katanya.

Pada 29 November lalu, Sultan Johor dilaporkan bertitah melarang penjualan pengewap dan cecair vape di negeri itu.

Beberapa hari kemudian, kerajaan negeri berkata larangan itu akan dikuatkuasakan bermula 1 Januari.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Johor, Datuk Latiff Bandi dipetik sebagai berkata, semua pihak berkuasa tempatan negeri itu akan diberi arahan mengenai perkara itu.


Tiada ulasan: