Khamis, 3 Disember 2015

Usul undi tidak percaya Najib tersenarai nombor 40


Dewan Rakyat
Dewan Rakyat


KUALA LUMPUR - Usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tersenarai dalam kertas Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat hari ini pada urutan ketiga terakhir.

Usul yang dikemukakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu berada di kedudukan nombor 40 dalam senarai tersebut.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada usul itu akan sempat dibahaskan pada sesi ini.

Mesyuarat ketiga penggal ketiga Parlimen ke-13 akan berakhir hari ini.

Pada 22 Oktober lalu, Wan Azizah mengemukakan pemberitahuan usul undi tidak percaya terhadap Najib kepada Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah.

Usul tersebut difailkan berdasarkan Perkara 43(1) dan 43(4) Perlembagaan Persekutuan, Konvensyen Parlimen dan Peraturan 26 dan 27 Peraturan-Peraturan Mesyuarat Majlis Dewan Rakyat.

Sebelum ini, semua ahli Parlimen Pakatan Harapan dan Pas telah menyatakan komitmen untuk menyokong undi tidak percaya terhadap Najib sekiranya usul itu berjaya dibawa di Dewan Rakyat.


Tiada ulasan: