KUALA LUMPUR,  Perwakilan Mahasiswa, Farhan Khairuddin mengakui sukar untuk mengembalikan kepercayaan mahasiswa kepada Barisan Nasional dan Umno kerana kekurangan ikon dalam parti itu.

Kata Farhan, orang muda kini tidak mahu lagi mendengar apa yang diperkatakan oleh menteri, senator mahupun guru tetapi mereka mahu mendengar apa ikon orang muda bercakap.
farhan khairuddin
Perwakilan Mahasiswa, Farhan Khairuddin – Foto TRP/SM Amin
“Saya sedih, apabila kita melihat di peringkat mahasisiwa lahirnya ikon-ikon muda politik di peringkat mahasiswa dan di pihak pembangkang.

“Dyana Sofya bercakap pun tak boleh, masuk DAP…. tudiaaa bak hang! Jadi orang hebat. Sama juga Fahmi Zainol, masuk PKR diangkat bagai Tuhan, bagai seorang pejuang mahasiswa.

“Sedangkan dialah orang yang selama ini menjadi gunting dalam lipatan kepada mahasiswa dan menjadi kuda trojan tunggangan parti pembangkang yang berlaku pada hari ini,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden di Perhimpunan Agung Umno 2015 di sini.

Jelasnya, masalah yang dihadapi oleh Umno adalah tiada fokus dalam pemerkasaan program-program pengkaderan di mana pelaksanaannya perlu ditambah baik seperti Institut Kajian Dasar (IKD) dahulu.

Malah, ikon-ikon yang boleh diketengah oleh Barisan Nasional dan Umno tidak diangkat ke tahap yang sepatutnya.

“Dan ini adalah perkara yang kita perlu lihat secara fokus, kalau kita lihat hari ini berapa banyak ikon-ikon muda dalam Umno dan Barisan Nasional yang kita bazirkan.

“Kalau dulu, bukan saya nak bangga dengan apa yang IKD ada, tapi di peringkat kita, kita perlu ada sesuatu seperti itu. Saya nak tengok lebih ramai lagi ikon muda seperti (Ketua Pemuda Umno) Khairy Jamaluddin.

“Siapa yang tahu baru-baru ini MANTAP di bawah kelolaan Datuk Razali Ibrahim boleh debat dengan pembangkang, tumbang pembangkang! Kenapa kita tak angkat? Kenapa kita tidak dendangkan mereka?” soalnya.

Tambah Farhan, kemenangan besar yang diperolehi Aspirasi dalam pemilihan kampus baru-baru ini tidak bermakna sekongan mahasiswa terhadap Umno dan kerajaan meningkat.

“Jujur saya katakan tanpa berdolak dalik, walaupun kita menang di 20 IPT, Aspirasi menang, itu tidak membuktikan kepercayaan kepada Umno dan kerajaan itu makin meningkat. Ini perlu kita sedar!

“Mahaisiswa kini adalah mahasiswa yang menilai secara intelektual, politik idea, dan kita kena bermain dengan politik idea. Mahasiswa hari ini politik di kampus ialah politik ikon, siapa yang jadi ikon kita akan ikut ikon itu,” ujarnya.