Sabtu, 19 Disember 2015

UMNO, PAS PERLU BUAT REFERENDUM SEBELUM JALIN KERJASAMA

shahbudindotcom


 
 
 
Antara UMNO dengan Pas,  parti manakah  yang ingin sangat untuk bekerjasama?

Antara Najib Razak dengan Hadi Awang pula, siapakah yang paling mahu jalinan  kerjasama itu?

Siapakah yang lebih mendapat manfaat jika kerjasama itu menjadi kenyataan - Najib dan UMNO atau Hadi dan Pas?

Adakah kedudukan Melayu dan Islam benar-benar mendapat untung daripada kerjasama itu?

Barangkal soalan-soalan diatas adalah pertanyaan lazim mengenai kerjasama UMNO dengan Pas yang sedang hangat diperkatakan ketika ini.

Walaupun mungkin  ramai yang mengatakan Najib yang lebih ke depan penonjolannya dari segi inginkan kerjasama itu, terutama bagi menyelamatkan survival politiknya, terdapat juga sebilangan yang lain menyatakan bahawa Pas juga perlukan kepada kerjasama tersebut untuk masa depannya.

Dalam konteks Najib dan UMNO, keperluan kepada kerjasama itu sangat mudah difahami berikutan serangan daripada Tun Mahathir Mohamad yang berterusan sejak sekian lama dan pelbagai isu yang melanda negara lebih memungkinkan parti itu bakal kehilangan kuasanya dalam pilihanraya akan datang ini.

Berdasarkan perkembangan semasa, hanya dengan menjalin kerjasama bersama Pas sahajalah yang memungkinkan Najib dan UMNO boleh terus kekal menggenggam kuasa.

Bagi Pas pula, perlunya kerjasama ini hanya dilihat untuk memulihkan imejnya yang berpecah dengan kumpulan progresif sehingga tertubuhnya Amanah dan juga berikutan keputusannya tidak mahu menyertai Pakatan Harapan yang ditubuhkan bagi menggantikan Pakatan Rakyat.

Hadi yang kepimpinannya paling dipertikaikan sejak kebelakangan ini sekurang-kurangnya dapat menunjukkan kepada musuh-musuhnya bahawa Pas yang diterajuinya masih lagi menjadi buruan dalam penentuan kuasa dalam negara ini.

Cuma, dalam konteks keuntungan kepada Melayu dan Islam yang masih kedengaran pertikaiannya di mana-mana. Sementara ada yang mengatakan kerjasama itu akan melonjakkan maruah Melayu dan Islam, pihak lain agak skeptikal dengannya sambil menyatakan ia sesuatu yang masih kabur lagi.

Bagaimanapun, mahu tidak mahu, UMNO dan Pas mesti menyedari bahawa kerjasama ini adalah perkara besar kepada kedua-dua parti tersebut.

Ia bukan perkara main-main kerana implikasinya kepada kedua-dua pihak juga bukan sedikit.

Paling tidak, implikasinya kepada UMNO yang perlu diambilkira ialah dari segi penerimaan ahli di peringkat bawahan, hubungan dengan parti-parti komponen bukan Melayu dalam BN, kesannya kepada senario politik di Sabah dan Sarawak serta dari segi pembahagian kerusi dalam pilihanraya.

Kepada Pas, selain penerimaan ahli peringkat bawahan dan pembahagian kerusi dalam pilihanraya, kerjasama dengan UMNO tentunya membawa kesan yang sama kepada tahaluf siyasinya dengan PKR di Selangor sekarang ini.

Pas menolak untuk menyertai Pakatan Harapan kerana tidak sebulu dengan DAP dan Amanah, tetapi dalam masa yang sama kekal meneruskan pakatan kerjasamanya dengan PKR di Selangor.

Apakah jika memilih untuk "cium mulut" dengan UMNO, Pas sudah sedia berundur daripada semua kedudukan dalam kerajaan negeri pimpinan Azmin Ali, daripada jawatan Exco, jawatan di pelbagai anak syarikat GLC hinggalah ke peringkat ketua kampung yang sedang dipegangnya?

Dalam hal ini, untuk membolehkan kerjasama itu benar-benar konkrit dan bukan merupakan keputusan pihak atasan semata-mata, adalah wajar UMNO dan Pas mengadakan referendum di kalangan ahli-ahlinya atau setidak-setidaknya mengadakan perhimpunan khas untuk mendapat persetujuan mengenainya.

Selain implikasi-implikasi yang disebutkan itu, harus juga disedari bahawa perbalahan politik antara UMNO dengan Pas bukan sekadar berbeza ideologi dan berebut kuasa semata-mata, tetapi rentetannya turut merebak sehingga adanya perpecahan dalam keluarga, kampung, surau, masjid dan di satu peringkat turut melibatkan tuduh-menuduh dari segi akidah.

Dari segi tekanan dan mangsa kuasa, bukan sedikit pula yang menderita, teraniaya dan sengsara, malah ada yang sehingga kehilangan nyawa.

Lantaran itu, kalau pun perlu sangat untuk UMNO dan Pas bekerjasama bagi menyesuaikan dengan keperluan serta realiti semasa, keputusannya tidak harus hanya melibatkan peringkat atasan saja dan memangsakan ahli serta penyokong di peringkat bawahan. 
 
 
 

2 ulasan:

Unknown berkata...

Kih kih kih.. Imej PAS terjejas kerana berpecah dgn bekas ahli yg tubuh PAN.... Woiiii.. Imej bertambah gemilang dan bersih la bilamana x lagi dapat dikaitkan dgn DAP..ini pun sesuatu yg dikesalkan UMNO juga... Pandai hang buat lawak noo..

Unknown berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.