Selasa, 29 Disember 2015

Umno mahu sokongan Melayu, Pas mahu hudud

Tengku Razaleigh Hamzah
Tengku Razaleigh Hamzah


KUALA LUMPUR - Umno menghulurkan kerjasama dengan Pas kerana mahukan undi majoriti Melayu, manakala Pas pula mungkin menyambut kerjasama yang dimahukan kerana mahu mendapat sokongan terhadap pelaksanaan hudud.
Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, ia tidak mustahil memandangkan Umno mungkin tidak akan dapat sokongan daripada bukan Melayu dalam PRU akan datang.

“Pandangan saya dari segi keadaan dalam negara sekarang, barangkali Umno membawa cadangan ini kerana ia merupakan strategi bagi Umno untuk berkawan dan bekerjasama dengan Pas," katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Tabung Kemanusiaan Pelajar Melayu Mesir, di Kelab Sultan Sulaiman, di sini, hari ini.

Manakala bagi Pas pula, kata Tengku, selain faktor hudud, kebersamaan kerjasama Pas dengan Umno dibuat mungkin kerana parti Islam itu tidak lagi dianggap sebagai rakan dalam perjuangan PR dahulu.

"Pas sekarang ini terpencil sebagai sebuah parti lama yang hanya mempunyai pengikut-pengikut dalam kawasan tradisinya. Jadi sukar untuk Pas mendapat sokongan banyak, dan perjuangannya juga memerlukan sokongan pihak yang berkuasa seperti Umno. Kerana Pas nak jalankan hukum hudud.

“Dan ini tidak boleh dijalankan melainkan satu; Enakmen Syariah dipinda di peringkat Parlimen bagi membolehkan enakmen di negeri Kelantan dan Terengganu dilaksana, dan kemungkinan kedua; mendapat sokongan 2/3 untuk meminda perlembagaan negara dan kalaulah kedua-dua parti ini berpakat mungkin boleh dilakukan semua yang dicadangkan itu," jelasnya.

Bagaimanapun menurut Tengku lagi, meskipun kini terlibat dengan kerjasama Pas, Umno tetap perlu menumpukan perhatian terhadap Sabah dan Sarawak.

"Umno kena beri perhatian dengan rakyat Sabah dan Sarawak yang memikirkan mungkin kerjasama dengan Pas tidak boleh membela kepentingan mereka di Sabah dan Sarawak.

“Kerana Sabah dan Sarawak tidak menganggap Islam sebagai agama rasmi negeri-negeri berkenaan," katanya lagi.


Tiada ulasan: