Sabtu, 12 Disember 2015

Umno jadi musuh tradisi Pas kerana prinsip syarak


Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man


SHAH ALAM - ‎Umno menjadi musuh tradisi Pas adalah kerana prinsip syarak bukan kerana nama atau diri ahli Umno.

Demikian respons Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai ucapan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang ingin 'menghulurkan tangan' kepada Pas untuk menjalinkan kerjasama politik antara Pas dan Umno.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, Umno mempunyai tanggungjawab akidah dan syariat di atas bahunya kerana telah diberi amanah dan kekuasaan pemerintahan.

"Pas, sebagai parti pembangkang, akan tetap dengan dasarnya mengajak manusia dan mendesak mereka yang berkuasa untuk kembali kepada sistem yang diturunkan oleh ALLAH. ‎

"Kita tidak akan jemu mengajak, mendesak dan menyeru Umno agar meninggalkan dasar nasionalisme yang menjadi asas perjuangan mereka.

"Malangnya, akibat perbezaan dasar ini, Pas dan ahli Pas terus menerima tekanan dan penindasan, terutamanya di tangan Umno," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, ribuan kakitangan awam yang menderita ditukar dan dikenakan pelbagai tindakan kerana mereka menyokong Pas.

Katanya lagi, Kelantan terus menderita dan ditindas dengan teruk sejak Datuk Abdul Nik Aziz Nik Mat menjadi Menteri Besar Kelantan di 1990.

"Meskipun begitu, sebagaimana yang diajar Islam, setiap orang diberi ruang bertaubat. Sejarah perjuangan Pas membuktikan Pas sanggup melupakan sejarah silam andainya mereka sedia menerima dasar Islam yang di bawa oleh Pas," katanya.

Sebagai contoh, katanya, Tengku Razaleigh Hamzah yang menjadi arkitek menumbangkan Pas di Kelantan diterima sebagai rakan politik Pas semasa beliau menerajui Semangat 46.

Demikian juga, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hebat bertembung dengan Pas sewaktu bersama Umno diterima sebagai rakan sepasukan apabila menubuhkan PKR dalam Barisan Alternatif dan kemudian Pakatan Rakyat," katanya.

Bahkan katanya, DAP yang sangat sukar diterima di kalangan pengundi Melayu, mendapat keuntungan politik bilamana Pas menerima mereka sebagai rakan politik sebelum ini.

"Sebagai sebuah gerakan Islam, matlamat Pas ialah menyelamatkan manusia dan negara dari kerosakan. Kini, oleh kerana perjuangan Pas memberi fokus kepada syariat,

"Maka, Perdana Menteri tampil dengan cadangan gagasan pembinaan negara berteraskan syariat tatkala beliau terus lemas di dalam jawapan-jawapan yang semakin mengelirukan mengenai penderma RM2.6 bilion di akaun peribadi beliau sama ada daripada penderma, para penderma atau wakil-wakil penderma," katanya.


Tiada ulasan: