Khamis, 10 Disember 2015

Tun M: Takkan saya nak hancurkan UMNO

 
Tun M menasihatkan pemimpin dan rakyat tidak menyokong Najib Tun Razak membuta tuli sebaliknya menolak jika Perdana Menteri membuat dasar yang salah.


ringgit,-najib,-mahathir


KUALA LUMPUR: Pemimpin dan rakyat tidak boleh menyokong Datuk Seri Najib Tun Razak membuta tuli, tegas Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, jika dasar negara yang dibuat itu salah, Najib perlu ditegur.

“Bantu maksud bekerjasama dan betulkan segala dasar yang salah… bukan sokong buta tuli.

“Kita boleh sokong kalau dia (Najib) buat benda baik,” katanya ketika berucap di Auditorium Muzium Kesenian Islam.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata Najib telah memutar belit fakta dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung UMNO (PAU) ke-69 di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC).

Katanya, berdasarkan analisis dibuatnya, ucapan Najib seperti mahu menuduh orang yang mengkritik itu mahu merosakkan UMNO.

“Ini tidak benar…. Dia seperti mahu berkata saya, Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal mahu mengahancurkan UMNO.

“Jika saya nak hancurkan UMNO, saya dah buat semasa saya jadi Perdana Menteri lagi.

“Tapi saya tak buat… Saya lepaskan jawatan saya selepas semua dalam keadaan baik.. Dan saya tak ambil pun duit kerajaan… Takkan saya nak hancurkan UMNO,” katanya lagi.

Justeru, Dr. Mahathir meminta ahli-ahli UMNO yang ada supaya memberanikan diri untuk mendesak supaya Najib berundur.

“Ini kerana kalau Najib masih kekal, dalam Pilihan Raya Umum ke-14 nanti BN/UMNO akan kalah,” katanya.

Tiada ulasan: