KUALA LUMPUR,  Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menyediakan treler kabin sebagai initiatif terbaru dalam usaha untuk menyalurkan bekalan makanan yang mencukupi kepada kira-kira 1.6 juta mangsa banjir pada tahun ini.


Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim mengumumkan perkara itu selepas melancarkan World Disaster Report (WDR) 2015 di Ibu Pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah Kebangsaan, hari ini.

Menurutnya, bagi tujuan itu JKM telah mewujudkan lima depoh simpanan bekalan makanan di lima kawasan tumpuan utama bencana banjir seperti Kedah, Selangor, Kelantan, Terengganu dan Muar.

“Bekalan makanan di lima depoh itu akan diedarkan ke semua 5,152 pusat pemindahan banjir di seluruh negara apabila berlakunya banjir nanti.

“Sebanyak 68 mini depoh juga disediakan berhampiran dengan tempat kejadian untuk menyenangkan dah mempercepatkan kerja-kerja menyalurkan bekalan terus kepada mangsa banjir,” kata beliau pada sidang media Pelancaran World Disaster Report di ibu pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah Kebangsaan, hari ini.

Sementara itu, dalam usaha menjaga kebajikan mangsa-mangsa bencana banjir terutama di kawasan pantai timur, JKM telah meningkatkan keperluan pembahagi mudah alih sebanyak 15,000 set untuk memudahkan mereka melakukan aktiviti seharian.

“Dengan pembahagi mudah alih yang disediakan mereka boleh menunaikan solat, serta mudah untuk melakukan aktiviti seharian buat kanak-kanak dan orang kurang upaya.

“Barangan asas lain seperti tikar untuk mengalas lantai simen yang sejuk ketika hujan turut diberikan selain daripada jaket keselamatan yang penting bagi sukarelawan bencana banjir,” jelasnya.

Setakat awal November lalu, pihak JKM bersama badan bukan kerajaan yang lain telah mula menyalurkan bekalan makanan kering serta keperluan asas kepada lima kawasan tumpuan yang dilanda banjir yang mampu bertahan sehingga lima hari.

Malah seramai 22,000 tenaga sukarelawan telah bersedia dalam menghadapi bencana banjir pada tahun ini berikutan musim tengkujuh yang melanda Malaysia setiap hujung tahun.