Selasa, 22 Disember 2015

Tragedi lemas: Majlis Keselamatan Air ditubuh

SINAR HARIAN


Tragedi air terjun: Imam surau Puncak Alam antara 5 lemas


SHAH ALAM - Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan menubuhkan Majlis Keselamatan Air bagi menyelaras isu berkaitan kes lemas dan keselamatan air.

Menterinya, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, Majlis Keselamatan Air boleh berperanan secara positif dan signifikan dalam menangani kes lemas di negara ini.

"Beberapa mesyuarat diadakan membabitkan Kementerian saya, pegawai Tan Sri Lee Lam Thye, agensi kerajaan berkaitan, pertubuhan sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi memperincikan butiran pembentukan Majlis Keselamatan Air," kata Abdul Rahman dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Abdul Rahman lagi, kertas Kabinet telah dirangka dan diedar di kalangan kementerian serta jabatan berkaitan‎.

"Kementerian dan jabatan berkaitan ini menyokong cadangan mengenai penubuhan Majlis Keselamatan Air dengan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menjadi pihak utama dalam menyelaras program, aktitivi serta maklumat berhubung kesedaran keselamatan air dan sistem amaran awal.

"Majlis ini juga akan berfungsi sebagai platform utama bagi agensi kerajaan berkaitan, di samping pertubuhan sektor swasta dan NGO bagi membincangkan perkara berkaitan isu keselamatan air, merangkumi aspek rekreasi, sukan, pengangkutan, pekerjaan atau di rumah," katanya Abdul Rahman lagi.

Menurut beliau, kertas Kabinet berhubung pembentukan majlis tersebut  dijangka dapat dibentang dalam mesyuarat Kabinet pada Januari 2016 bagi mendapat kelulusan.

"Sebaik Majlis Keselamatan Air dibentuk, semua pihak berkuasa yang berkaitan dan masyarakat akan memiliki kesedaran lebih tinggi terhadap risiko yang ada dan mengambil langkah pencegahan bagi mengelak tragedi seperti di Air Terjun Belukar Bukit, Terengganu daripada berulang," akhiri beliau.

Pada 19 Disember lepas, tragedi menimpa enam sekeluarga apabila lima daripada mereka ditemui mati lemas di Air Terjun Belukar Bukit, Hulu Terengganu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi air terjun: Imam surau Puncak Alam antara 5 lemas]

 

Tiada ulasan: