Isnin, 21 Disember 2015

Tok Pa: Petani, penternak, nelayan belum faham TPPA

MALAYSIAKINI


 


Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan memperluaskan penerangan mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) kepada penduduk di kawasan luar bandar mulai bulan depan.

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata langkah itu perlu kerana masyarakat luar bandar terutama petani, penternak dan nelayan masih belum memahami mengenai perjanjian tersebut.

"Kita akan permudahkan lagi pemahaman mengenai TPPA kepada petani, nelayan dan orang kampung serta pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS)," katanya kepada pemberita selepas majlis 'Townhall TPPA' di Universiti Malaysia Kelantan di Kota Bharu semalam.

Katanya pada masa sama, pihaknya akan menggandakan sesi penerangan mengenai TPPA kepada golongan akademik, profesional, pelajar institusi pengajian tinggi, usahawan dan penjawat awam.

Beliau berkata maklum balas daripada sesi penerangan mengenai TPPA yang dijalankan dari semasa ke semasa, mendapati semakin ramai yang memahami mengenai perjanjian tersebut dan bantahan terhadap pelaksanaan TPPA juga semakin berkurangan.

Katanya tokoh akademik dan tokoh industri juga akan diminta membantu kerajaan memberi penerangan mengenai perjanjian itu kepada rakyat.

Mustapa berkata bagi memastikan usahawan Bumiputera terutama PKS mampu bersaing di peringkat antarabangsa, kementeriannya akan melaksanakan pelbagai program bina upaya untuk memantapkan golongan tersebut.- Bernama


Tiada ulasan: