KUALA LUMPUR,  Juri tetap program realiti popular terbitan Astro, Gegar Vaganza musim kedua (GV2), Datuk Ramli MS secara terbuka memberitahu beliau dan barisan juri yang lain tidak mengamalkan prejudis sewaktu menilai persembahan penyanyi yang bertanding sepanjang lapan minggu GV2 berlangsung.


Bagi Ramli, sebagai penyanyi profesional dan berpengalaman luas dalam bidang nyanyian, peserta GV2 sudah sepatutnya tahu apa yang perlu dilakukan di atas pentas dalam memberikan persembahan terbaik.

“Sebagai juri, kami tidak mempedulikan apa jua perkara yang tidak berkaitan melainkan hanyalah untuk fokus kepada persembahan mereka selama tiga setengah minit itu.

“Dalam tempoh yang singkat itu, kami akan menilai tanpa ada rasa belas kasihan sehinggakan seandainya ada kesilapan kecil sekalipun, kami akan memotong markah mereka.

“Seharusnya, peluang itu diambil oleh semua peserta musim kedua ini untuk mempamerkan kehebatan dan kekuatan masing-masing untuk penilaian kami dalam memilih mereka yang benar-benar layak ke pentas akhir dan seterusnya memilih juaranya,” kata Ramli yang ditemui sewaktu sidang media yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor, malam semalam.

Selain Ramli, tiga tokoh seni yang diberi tanggungjawab untuk menilai persembahan finalis GV2 semalam termasuklah seorang lagi juri tetap, Datuk Khadijah Ibrahim atau Khaty selain dua juri undangan, Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Rosyam Nor.

Ramli atau nama sebenarnya Ramli Mohamed Salleh berkata demikian ketika diminta mengulas tentang spekulasi yang mengatakan beliau dan barisan juri yang lain terutama Khaty yang mengamalkan favouritism dalam GV2.
gegarvaganza-m-3
Sebagai juri tetap Gegar Vaganza musim kedua, Ramli MS menjalanlan tanggungjawabnya secara profesional tanpa prejudis. – Foto Astro
Apatah lagi, ada sesetengah pihak yang berasa kurang senang apabila salah seorang finalis GV2, Farahdhiya Mohd. Amin atau mesra disapa Farah dipilih sebagai naib juara pertandingan nyanyian popular terbitan Astro itu.

Mengulas lanjut berhubung perkara berkenaan, Khaty pula menjelaskan setiap kali beliau membuat penilaian, perkara utama yang dititik beratkan olehnya adalah kelainan dalam setiap persembahan yang dilakukan.

Malah, dalam nada penuh diplomasi, penghibur legenda itu menafikan dirinya bersama Ramli telah sepakat dalam menentukan pemenang kerana segala keputusan yang dilakukan adalah telus tanpa ada sebarang pilih kasih.

Dalam konteks ini, Khaty yang cukup masyhur dengan lagu Ku Pendam Sebuah Duka dan Ku Gembira Di Sampingmu itu, beliau suka untuk mengambil contoh penyanyi Haiza yang disifatkannya sebagai versatil setiap minggu.

“Bukan hanya dari segi persembahan, tetapi imej yang ditampilkan juga sudah cukup jelas membuktkan keseriusannya dalam pertandingan ini.

“Begitu juga dengan Siti Nordiana atau Nana yang saya sifatkan penyanyi yang cukup bagus sepanjang dia bertanding dalam GV2 kerana konsisten dalam persembahannya.
gegarvaganza-m-4
Khaty amat menitik beratkan soal kelainan dalam persembahan setiap penyanyi yang bertanding dalam Gegar Vaganza musim ini dan menilainya secara telus. – Foto Astro
“Tetapi saya sedar, setiap mereka yang bertanding pasti akan berhadapan dengan kesulitan. Mungkin kerana penat dan mempunyai perasaan darah gemuruh yang seterusnya menyebabkan mereka gugup dan tidak dapat memberikan fokus untuk setiap persembahan,” ujar pemilik rangkaian restoran terkenal, Khadijah’s Kitchen itu lagi.

Pada pentas akhir itu, seperti mana yang diramal ramai pihak, Nana atau nama sebenarnya, Siti Nordiana Alias, 31, menjuarai GV2 dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM100,000, pakej pelancongan ke Madrid, Sepanyol bernilai RM30,000, trofi dan peluang merakamkan single baharu bersama Astro.

Ternyata, Nana telah memberikan persembahan yang mengagumkan semua pihak menerusi lagu popular Ziana Zain, Putus Terpaksa selain bergandingan bersama Acong dalam pusingan battle untuk lagu #AwakKatMane.

Sementara itu selaku penyandang gelaran naib juara pula, Farah menerima habuan sebanyak RM50,000 selain pakej percutian ke Beijing, China dan trofi sumbangan Astro.

Tempat ketiga pula menjadi milik bekas vokalis kumpulan Exists, Ezad Lazim manakala kedudukan keempat hingga keenam masing-masing menjadi milik Nassier Wahab, Acong dan Haiza.

Enam peserta GV2 yang turut bertanding musim ini termasuklah Zul Handy Black, Ezlynn, Sheeda, Amir Ukays, Nizam Laksamana dan Azian Mazwan Sapuwan.