Isnin, 7 Disember 2015

Terpulang kepada pembangkang mahu terima atau tidak penjelasan dana RM2.6b - Penganalisis

Oleh Azizul Osman

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Terpulang kepada pembangkang samada mahu menerima atau tidak penjelasan yang diberikan kerajaan mengenai dana RM2.6 bilion yang diberitahu dalam Parlimen minggu lalu.
 
Sebaliknya menurut penganalisis politik Dr. Maszlee Malik, apa yang lebih penting adalah kerajaan sudah menjalankan tanggungjawab mereka dalam menjawab persoalan yang menjadi tanda tanya rakyat selama ini. 
 
"Tidak kisahlah (Datuk Seri) Dr Wan Azizah Wan Ismail setuju atau tidak (mengenai penerangan RM2.6 bilion oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid), parti pembangkang itu hal mereka. Bagi rakyat, mereka inginkan penjelasan daripada Datuk Seri Najib sendiri. 
 
"Penjelasan yang tuntas dan penuh dengan fakta untuk menghilangkan segala prasangka dan persoalan yang bermain di minda rakyat", katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail Khamis lalu berkata mereka kecewa dengan penjelasan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi  yang menyifatkan kerajaan cuba mencari helah untuk tidak menjawab isu dana yang mengaitkan Perdana Menteri.
 
Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik Syed Agil Syed Alsagoff pula berpendapat pembangkang mengambil sikap terburu-buru dalam membuat intrepritasi mengenai isu berkenaan.
 
Baginya, pembangkang setidaknya perlu mengambil pendekatan matang setelah gesaan mereka disahut Ahmad Zahid yang menggantikan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menjawab isu berkenaan.
 
Kerajaan berbuat demikian setelah dinasihatkan Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali agar tidak memberi sebarang kenyataan berhubung isu berkenaan kerana masih dalam siasatan.
 
Saya rasa biar kerajaan menjelaskan tentang RM2.6 bilion itu dulu dan jangan mengambil satu andaian yang terburu-buru dengan menyatakan bahawa wang itu dimiliki oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. 
 
"Kita harus berpegang kepada prinsip rasional, beri peluang kepada kerajaan untuk jelaskan dan kita dan banyak menerima impak mengenai isu ini. Hanya penjelasan daripada kerajaan itu yang boleh menyelesaikan isu ini", katanya.
 
Namun kerajaan perlu lebih telus dalam memberikan maklumat berhubung apa jua isu agar masyarakat tidak terkeliru, katanya.
 
Penjelasan itu yang berkait dengan RM2.6 bilion ini harus dibuat dengan lebih telus biar semua orang paham dan mungkin di satu platform yang mana ia diperjelaskan kepada semua rakyat.
 
Isu derma RM2.6 bilion menjadi tumpuan dalam sidang Parlimen apabila Ahmad Zahid memberikan kenyataan rasmi mengenainya, sedangkan sebelum ini media melaporkan bahawa penjelasan itu akan diberikan oleh Najib.
 
Mengikut Peraturan 14 Dewan Rakyat, Ahmad Zahid menjelaskan amalan sistem demokrasi derma politik dibenarkan dna turut menjadi amalan negara maju yang lain.
 
 

Tiada ulasan: