Ahad, 6 Disember 2015

Tan Sri Muhyiddin – Nak jadi mangsa atau PM?




Oleh Tuan Ibrahim Tuan Man


Kegagalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk hadir di parlimen dan menjawab dana RM2.6 bilion di dalam akaun beliau telah membuka ruang luas kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadi Presiden Umno dan seterusnya Perdana Menteri seterusnya.

Bola kini di kaki TS Muhyiddin – apakah beliau mahu terus menjadi mangsa atau bangkit menjadi PM?

Jika TS Muhyiddin memilih untuk bangkit, maka beliau harus berhenti bermain isu yang memperlihatkan beliau sebagai mangsa. Beliau perlu menumpukan perhatian kepada pengumuman langkah-langkah yang bakal beliau ambil jika beliau ialah PM di saat rakyat kian tersepit dengan pelbagai pengumuman kenaikan harga secara mendadak yang turut dirasai ahli-ahli Umno biasa.

Antaranya TS Muhyiddin boleh berjanji:

1. Mengurangkan kadar kenaikan KTM, yang baru dinaikkan sebanyak 58% pada 2 Disember 2015.
2. Mengurangkan kadar kenaikan LRT, yang baru dinaikkan 102% pada 2 Disember 2015.
3. Mengurangkan kadar kenaikan ERL, yang bakal dinaikkan dari RM35 ke RM55 pada 1 Jan 2016.
4. Menghalang kenaikan tol PLUS pada tahun depan dan berjanji menyemak semula segala perjanjian konsesi lebuhraya
5. Menghidupkan semula subsidi elektrik, minyak masak dan beras ST15.
6. Membongkar misteri penderma dan asal-usul RM2.6 bilion
7. Mendedahkan hasil siasatan ke atas 1MDB
8. Mengurangkan pembelanjaan Jabatan Perdana Menteri dan memulangkan bajet pendidikan setara dengan peruntukan di 2015
9. Tidak akan memegang jawatan Menteri Kewangan
10. Tidak sesekali membalas dendam kepada sesiapa yang mengkhianatinya sehingga beliau hilang jawatan Timbalan Perdana Menteri
11. Berjanji tidak akan membenarkan isteri beliau mencampuri urusan negara mahupun Umno
12. Memecat semua penasihat-penasihat kontrak bergaji tinggi di Jabatan Perdana Menteri
13. Mengurangkan saiz kabinet

TS Muhyiddin sedar kegagalan untuk memecatnya dari Umno menunjukkan beliau masih mempunyai sokongan yang kuat di kalangan pemimpin dan ahli Umno. Beliau masih boleh bersuara di dunia digital hari ini meskipun digam. Beliau masih boleh memberikan amanat melalui rakaman video.

Dengan rakyat termasuk sebahagian besar ahli Umno yang kini terkesan dengan kenaikan kos sara hidup, tidak mustahil untuk TS Muhyiddin mendapat mandat yang besar dan diberi kepercayaan menerajui Umno selepas ini. Bola kini di kaki TS Muhyiddin.

(*) Tuan Ibrahim Tuan Man,Timbalan Presiden PAS 


Tiada ulasan: