Sabtu, 12 Disember 2015

Tak lalui proses Perlembagaan, MKN rampas ’empat kali ganda’ kuasa Agong

SUFI4126

Roketkini.com

 
KUALA LUMPUR : Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (MKN) umpama rampasan kuasa empat kali ganda kerana mengambil peranan Perlembagaan, Yang Di-Pertuan Agong dan Kabinet serta hak autonomi Sarawak dan Sabah.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata ia berikutan Perdana Menteri mempunyai kuasa menentukan hala tuju pentadbiran negeri, selain boleh mengisytihar darurat tanpa perlu izin Yang Di-Pertuan Agong.

Beliau bimbang RUU itu akan wewujudkan kerajaan paralel yang ada rangka birokrasinya tersendiri tanpa melalui proses perlembagaan dalam menjalankan tangkapan dan pengisytiharan kawasan keselamatan.

“Saya bimbang akan berlaku salah guna kuasa jika RUU itu mendapat kelulusan Dewan Negara. Apatah lagi, ia diluluskan dengan tergesa-gesa bagai ‘pencuri di malam hari’ tanpa persetujuan negeri seperti Sarawak dan Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam forum yang bertajuk National Security Council Act: To Protect or to Oppress? di Petaling Jaya, malam tadi.

Ahli Panel lain ialah Pakar Undang-Undang, Dr Aziz Bari; Pengerusi Bersama Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Majlis Peguam Malaysia, Andrew Khoo; Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin; Presiden Human Rights Society of Malaysia (HAKAM), Datuk Ambiga Sreenevasan, dan Profesor Undang-Undang Universiti Malaya (UM), Azmi Sharom.

Kit Siang juga menyifatkan RUU MKN itu sebagai melanggar hak asasi manusia kerana MKN memiliki kuasa untuk melakukan tangkapan sewenang-wenangnya tanpa alasan kukuh, sebaliknya bermotif politik.

Beliau memberi contoh pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohammad yang menyaksikan ramai pemimpin pembangkang ditahan mengikut Akta Keselamatan Negeri (ISA) melalui Operasi Lalang pada 1987.


Tiada ulasan: