Sabtu, 19 Disember 2015

Tak ada apa yang pelik bagi Hadi, Najib


Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man


SHAH ALAM - Tiada apa yang pelik bagi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk sepentas dengan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak, demikian menurut pendapat Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tambah Tuan Ibrahim, Abdul Hadi hanya meneruskan langkah yang diambil oleh semua pimpinan terdahulu iaitu melihat sesuatu isu berdasarkan pandangan mata syarak.

Katanya, kesediaan Abdul Hadi berada sepentas dengan Najib seharusnya menjadi kebanggaan seluruh ahli parti kerana ia menggambarkan jiwa besar pemimpin.

“Tiada apa yang pelik bagi Abdul Hadi untuk sepentas dengan Presiden Umno. Presiden-presiden Pas terdahulu sehingga kini pernah sepentas dengan presiden-presiden Umno.

"Allahyarham Datuk Fadhil Nor dan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berada sepentas dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam membicarakan isu Palestin.

"Tok Guru Abdul Aziz juga pernah berada sepentas dengan Tun Abdullah Badawi dalam pelancaran Eastern Corridor Economic Region (ECER) dan kini Presiden berada pentas dengan Najib atas isu perpaduan ummah.

“Ini tentunya akan menyempitkan dada mereka yang sentiasa sakit hati dengan dasar dan perjuangan Pas khususnya mereka yang melihat sepentas ini bermakna ia akan menjadi separti atau akan menjadi satu parti” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurutnya, ahli Pas tidak perlu menghabiskan masa melayani kumpulan tersebut kerana dasar dan perjuangan kita tiada kena mengena dengan pihak tersebut.

“Pas akan terus istiqamah di atas dasar Islam dan bersedia untuk terus duduk semeja dengan sesiapa sahaja bagi membincangkan isu negara melangkaui sempadan parti politik.

"Sebagai sebuah parti yang besar kita mesti mempunyai jiwa besar bagi menghadapi isu besar ummah dan negara. Pas akan terus menentang kemungkaran yang membahayakan rakyat dan negara,” katanya lagi.


Tiada ulasan: