Sabtu, 12 Disember 2015

Surat terbuka buat saudara Wakil Mahasiswa Nasional UMNO 2015

FREE MALAYSIA TODAY


Tidakkah saudara juga mahu mencadangkan agar pensyarah-pensyarah yang menimbulkan sentimen menolak Pakatan Harapan dan parti-parti bukan komponen BN dipantau juga?
 
 
 
farhan
Oleh Wan Salman Wan Sallam


Ke hadapan saudara Muhammad Farhan Khairuddin,
 
Saya, Wan Salman Wan Sallam, sahabat mahasiswa saudara baru sahaja membaca sebuah laporan (Pantau pensyarah yang cenderung tolak kerajaan – Wakil Mahasiswa) daripada portal berita terkemuka Malaysia, Berita Harian yang memberitahu bahawa saudara mencadangkan agar pensyarah-pensyarah institusi pengajian tinggi (IPT) yang menimbulkan sentimen menolak Barisan Nasional (BN) dipantau agar tidak mempengaruhi pelajar lain.

Sebelum menyambung curahan hati saya tentang pandangan saudara ini, saya terlebih dahulu ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas kemenangan saudara dalam pilihan raya kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini selain dipilih sebagai Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UKM bagi sesi baru ini.

Malah saya juga cukup berbangga dengan saudara kerana diangkat sebagai ikon mahasiswa nasional untuk Perhimpunan Agung UMNO 2015 ini. Bukanlah sesuatu yang mudah untuk menjadi contoh teladan kepada mahasiswa lain dalam sebuah parti yang amat bersejarah dalam penubuhan Malaysia yang berbilang kaum ini.

Tidak cukup dengan itu, dalam ketika UMNO lebih banyak memperlihatkan muka lama, saudara diberi peluang menyinar dalam acara tahunan UMNO yang penuh gilang-gemilang ini. Sepatutnya, lebih ramai anak muda mencontohi saudara dalam mengetengahkan bakat mereka dalam aktivisme masyarakat dan politik kerana mahu tidak mahu, mereka juga yang bakal mengganti kepimpinan hari ini.

Sungguhpun begitu saudara Farhan, tahukah saudara bahawa betapa sukarnya jalan mahasiswa ini apabila mereka punya idealisme dalam isu-isu tertentu? Jalan mereka ini menjadi sukar kerana mereka memilih untuk berlainan pendapat dengan kebanyakan keputusan dan dasar kerajaan yang memerintah hari ini dan parti-parti mereka.

Saudara Farhan yang saya kasihi kerana Allah,

Benar, saya juga tidak bersetuju apabila ada pensyarah yang sewenang-wenangnya menggunakan pentas akademik dalam kuliah mereka untuk mempengaruhi mahasiswa untuk menolak satu-satu parti atau pihak. Mereka sebagai ahli akademik perlu profesional dan mengutamakan nilai dalam membicarakan idea, bukan sentimen dan pendapat peribadi yang tidak berasas semata-mata.

Namun begitu saudara, saya suka ingin mengajak saudara mempertimbangkan satu hal; tidakkah saudara juga mahu mencadangkan agar pensyarah-pensyarah yang menimbulkan sentimen menolak Pakatan Harapan dan parti-parti bukan komponen BN dipantau juga? Jika kita pertimbangkan premis di atas, seharusnya kita berlaku adil dalam menetapkan etika penyebaran idea-idea akademik; politik khususnya dalam hal ini. Tidak mengapa, saya serahkan kepada saudara sendiri untuk menjawabnya.

Selain itu saudara Farhan, tahukah saudara bahawa jalan saudara untuk berkempen dan berucap dalam parti yang disertai saudara jauh lebih mudah berbanding mereka yang memilih untuk berada pada jalan lain?

Saudara hari ini dengan bangganya bebas malah diangkat pimpinan parti untuk berucap atas nama anak muda, tetapi pimpinan teratas sebuah pertubuhan pelajar pula dipanggil oleh pihak atasan universiti mereka malah menggesa mereka menghentikan aktiviti mereka. Mereka belum pun sempat mengutarakan idea mereka, terus digesa berhenti melakukan sedemikian. Tidakkah saudara rasa ini sesuatu yang amat tidak adil malah menganiaya mahasiswa?

Tidak cukup dengan itu, sedarkah juga saudara bahawa tatkala pelajar luar negara boleh menyertai Kelab UMNO luar negara malah berbangga menyertainya, mereka yang menyertai parti lain terpaksa merahsiakan keahlian mereka kerana layanan berbeza terhadap mereka? Bilakah pernah kita mendengar adanya “Kelab PAS luar negara” yang boleh mempromosi aktiviti mereka seberani Kelab UMNO luar negara?

Jika benar mahasiswa tidak dibenarkan menyertai politik secara umumnya, mengapa UMNO boleh, yang lain pula tidak boleh?

Saudara Farhan yang saya sayangi,

Bukanlah niat saya di sini ingin menolak saudara secara totok, jauh sekali menimbulkan sentimen terhadap UMNO yang punya jasanya sendiri walau saya punya banyak percanggahan idea dengan parti itu.

Tetapi saudara Farhan yang saya anggap seperti “abang” dalam aktivisme mahasiswa, saya ingin melahirkan kebimbangan dalam lubuk sanubari saya yang terdalam terhadap kebebasan mahasiswa dalam beraktivisme dan kebebasan mereka memilih idea-idea tertentu selagi tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan yang sepatutnya menjamin hak rakyat negara tercinta ini.

Sungguh, saya berasa amat bangga apabila akhirnya UMNO berani mengetengahkan anak muda seperti saudara untuk berucap di hadapan perwakilan parti segenap usia. Pencapaian saudara ini pastinya akan mengobarkan lagi semangat mahasiswa lain untuk mereka menyumbangkan tenaga mereka demi bangsa, agama dan negara mereka ke arah yang lebih baik.

Tetapi jika kelahiran idea mereka dihalang malah lebih teruk, mereka dipaksa menghentikan aktivisme mereka hanya kerana berlainan pendapat dengan parti pemerintah semasa, hal ini boleh menyebabkan terbunuhnya keberanian mahasiswa itu bagi memberi idea yang baik demi kesejahteraan negara.

Malah sekatan-sekatan seperti ini juga pastinya akan menyekat ruang dan peluang persaingan dan perkongsian idea yang sihat antara mahasiswa. perkongsian dan persaingan yang sihat berasaskan hujah yang fakta dan akademik inilah juga yang sepatutnya menjadi nilai dan pegangan mahasiswa, sesuai dengan status mereka di gedung ilmu yang bukan semata-mata tempat mencari cinta remaja dan ponteng kelas semata-mata.

Sehubungan itu saudara Farhan, saya dari Sekretariat Masyarakat Madani, IKRAM Siswa Nasional ingin mengajak saudara mempertimbangkan masalah-masalah yang dihadapi mahasiswa-mahasiswa ini.

Malah saya juga menjemput saudara untuk mengadakan perbincangan bersama kami dan juga Presiden dan JK Politik Kampus kami agar kita sama-sama dapat menyelesaikan kemelut ini agar karakter dan bakat mahasiswa tidak terbunuh dek sentimen murahan dan kepentingan peribadi pihak-pihak tertentu baik daripada golongan propembangkang mahupun prokerajaan.

Sekian sahaja coretan saya buat saudara untuk kali ini. Moga kita sama-sama berjaya memaksimumkan kesedaran aktivisme mahasiswa di kampus agar kepimpinan baharu negara ini dicorak dengan nilai dan adab serta idea yang mantap. Moga kita sama-sama sempat melihat Malaysia ini sembuh daripada konflik daln masalah walau pada jalan mana pun kita bergerak, Insya-Allah.

*Penulis ialah ahli Sekretariat Masyarakat Madani IKRAM Siswa Nasional

Tiada ulasan: