KUALA LUMPUR, “SPRM telahpun bertemu dengan petani yang dimaksudkan dalam laporan tersebut.”

Itu maklum balas Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki berhubung pendedahan laporan The Rakyat Post mengenai isu rasuah di Cameron Highlands bertajuk ‘Farmer alleges corruption in Cameron Highlands’, semalam.


Azam berkata, SPRM sentiasa siasat kes-kes ada unsur rasuah.

Sehubungan itu, katanya, SPRM sedang mengambil tindakan proaktif susulan aduan yang dibuat kepada SPRM.

“SPRM memberi jaminan akan menjalankan siasatan mengikut Akta SPRM 2009 jika wujud elemen rasuah.

“Kami hanya boleh menjalankan siasatan berkaitan perlakuan rasuah.


Semalam, The Rakyat Post melaporkan seorang petani dari Kampung Raja,  Kaliyappan Perumal, 33, mendakwa rasuah berleluasa di Cameron Highlands yang mencapai kadar yang endemik dan jika lewat ditangani akan menjadikannya mustahil untuk diatasi.

Menurutnya, dakwaan rasuah dan berpakat dengan pemaju timbul selepas Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Cameron Highlands memusnahkan sebuah ladang, Khamis lalu.

Justeru, Azam berkata SPRM menasihatkan agar mana-mana pihak supaya berhubung dengan pihak berkuasa tempatan atau Pejabat Tanah sekiranya melibatkan aspek-aspek lain di luar bidang kuasa Akta SPRM 2009.

“Untuk makluman, SPRM sentiasa mengambil tindakan yang sewajarnya demi kepentingan rakyat dan penduduk Cameron Highlands, termasuk telah mengadakan Ops Sejuk pada awal Julai 2015, di mana SPRM telah berjaya menahan 22 pekebun sayur kerana cuba merasuah anggota penguat kuasa di Cameron Highlands.

“Oleh itu, mereka yang ada maklumat boleh menyalurkan kepada SPRM.

“Kerjasama semua pihak adalah sangat penting bagi SPRM,” tegasnya.