Isnin, 7 Disember 2015

SPRM sahkan hantar pegawai temui penderma RM2.6b

SINAR HARIAN


SPRM
SPRM


KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan pihaknya telah menghantar pegawai ke Timur Tengah bagi mengadakan pertemuan dengan penderma dana RM2.6 bilion.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki berkata, pihaknya akan mengemukakan laporan kepada Peguam Negara sebaik sahaja siasatan selesai dilakukan.

"Bagaimanapun SPRM tidak boleh mendedahkan hasil pertemuan itu kerana siasatan masih berjalan, jika ada perkembangan terkini SPRM akan maklumkan dari semasa ke semasa," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: ‎Isu RM2.6b, SRC: Najib beri keterangan hari ini]

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.

Pada 5 Ogos lalu, SPRM mengesahkan dana RM2.6 bilion dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan sumbangan daripada penderma Timur Tengah.

Pada Sabtu lalu (5 Disember), SPRM telah mengambil keterangan daripada Najib berhubung isu SRC International dan dana RM2.6 bilion.

Pertemuan itu diadakan selama dua jam setengah dan perdana menteri memberi kerjasama dengan baik kepada SPRM.

SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012. - Bernama


Tiada ulasan: