KOTA BHARU, Hanya dalam tempoh 24 jam, pasukan Taskforce yang ditubuhkan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) berjaya menahan tujuh lelaki dan merampas 900 biji Eramin 5 dan 13 gelen ubat batuk bernilai RM21,300 dalam tiga serbuan bermula tengahari semalam.

Kejayaan itu dianggap sebagai rampasan terbesar di dalam Kota Bharu dan dipercayai berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah jenis itu di sekitar Wakaf Mek Zainab dan Telipot, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan, Superintendan Mit Emong berkata, rampasan membabitkan Eramin 5 dan ubat batuk ‘Codaine’ itu amat mengejutkan kerana dadah jenis itu sudah lama tidak diperolehi.
Menurutnya, sebelum ini tumpuan banyak diberikan kepada pil kuda dan tidak menyangka dadah jenis itu muncul semula.

“Kemungkinan ekoran banyak pil kuda dirampas, rangkaian pengedar dadah sudah kehabisan bekalan dan mula kembali mengedar Eramin 5 dan ubat batuk,” katanya pada sidang media di IPK, di sini hari ini.

Jelasnya, dalam serbuan bermula jam 12 tengahari semalam pasukan ‘taskforce’ berjaya menahan dua lelaki di Jalan Telipot dan merampas sebanyak 52 liter ubat batuk.

Katanya, dalam serbuan kedua selepas itu pasukan terbabit menahan pula seorang lelaki berusia 21 tahun dan merampas 400 biji Eramin 5 di Jalan Bayam.

“Operasi terakhir pada jam 8 malam, pasukan khas itu berjaya menahan empat lelaki di dalam sebuah kereta dan merampas 500 biji Eramin 5 bernilai RM7,500.

“Kesemua yang ditahan berusia antara 18 hingga 29 tahun. Polis berjaya mendapatkan perintah tahanan reman kepada semua suspek sehingga 9 Disember depan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Mit berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.