Selasa, 15 Disember 2015

Shaharuddin Rosdi kini Ketua Jurulatih Bola Sepak Pahang

FREE MALAYSIA TODAY


Beliau akan memanfaatkan pengalaman bersama dua jurulatih tersohor yang pernah membimbing Pahang iaitu Dollah Salleh dan Zainal Abidin Hassan


sharuddin


KUANTAN: Selepas enam tahun bertindak sebagai Penolong Jurulatih Pahang, Ahmad Shaharuddin Rosdi kini diberi kepercayaan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) sebagai Ketua Jurulatih baharu skuad bola sepak negeri ini untuk musim hadapan.

Anak kelahiran Kuantan yang juga bekas pemain Pahang dan kebangsaan itu berkata, beliau akan memanfaatkan pengalaman bersama dua jurulatih tersohor yang pernah membimbing Pahang iaitu Dollah Salleh dan Zainal Abidin Hassan bagi membimbing sebaik mungkin pasukan gergasi Pantai Timur berkenaan.

“Ini bukan tugas mudah buat saya…namun berikan saya masa dan peluang untuk membuktikan kemampuan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Selasa.

Beliau yang lebih dikenali dengan nama Coach Shah di kalangan pemain, tidak asing bagi peminat bola sepak Pahang pada era 90-an.

Pengalaman beliau sebagai pemain Pahang bermula pada tahun 1994 hingga 2003 merupakan salah seorang perancang terbaik yang pernah Pahang miliki sehingga berjaya membantu pasukan untuk mengecapi beberapa piala dalam Liga Malaysia.

Shaharuddin, 40, mempunyai pengalaman luas dalam bidang kejurulatihan bermula sebagai Penolong Jurulatih Skuad Piala Belia bawah 19 Pahang pada tahun 2007-2008.

Kemudian, Penolong Jurulatih Skuad Piala Presiden Pahang 2009-2010 sebelum menjawat jawatan Penolong Jurulatih untuk pasukan Liga Super Pahang sejak tahun 2010 di bawah dua Ketua Jurulatih iaitu Dollah Salleh dan juga Zainal Abidin.

Beliau membantu Dollah Salleh untuk membawa Pahang menjuarai Piala Malaysia pada tahun 2013 dan membantu Zainal menjuarai tiga piala pada tahun 2014.

Walaupun mengakui dibayangi oleh dua jurulatih berpengalaman itu, beliau tetap optimis untuk menggunakan segala ilmu yang diperolehi dan pengalaman sedia ada bagi merencanakan pasukan tersebut.

“Setiap individu mempunyai gaya dan corak tersendiri dan saya akan gunakan kaedah tersendiri untuk pasukan Pahang tanpa mengikuti sepenuhnya cara yang digunakan oleh kedua-dua jurulatih sebelum ini,” katanya.– BERNAMA

Tiada ulasan: