Isnin, 21 Disember 2015

Senator mahu Agong saja boleh isytihar 'kawasan keselamatan'

Kow Gah Chie  







Seorang senator BN dari Sarawak tidak bersetuju bahawa perdana menteri diberi kuasa untuk mengisytiharkan 'kawasan keselamatan' mengikut rang undang-undang Keselamatan Negara 2015.

Sebaliknya, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Profesor Datuk Dr Sim Kui Hian mahu hanya Yang di-Pertuan Agong diberi peranan membuat perisytiharan itu.

"Saya cadangkan ayat berbunyi 'perdana menteri' digantikan dengan 'Yang di-Pertuan Agong’, yang akan bertindak atas nasihat Majlis Keselamatan Negara," katanya ketika membahaskan rang undang-undang MKN di peringkat dasar di Dewan Negara, hari ini.

"Kami tidak mahu wujudkan tanggapan salah bahawa kuasa Raja-raja Melayu seperti yang termaktub dalam Perkara 150 (Perlembagaan Persekutuan untuk mengisytiharkan keadaan darurat) diambil oleh eksekutif.

"Walaupun ini hanya berkaitan dengan persepsi, tetapi dalam politik, persepsi adalah lebih penting daripada realiti," kata Sim.

Menurutnya, kerajaan juga perlu menggubal rang undang-undang yang merangkumi elemen semak dan imbangi untuk mengelakkan salah guna kuasa pada masa akan datang.

Sim juga menggesa kerajaan untuk memasukkan ketua menteri Sabah dan Sarawak sebagai ahli MKN kerana kedua-dua negeri Borneo adalah sebahagian daripada penubuhan Malaysia.

"Ketiadaan wakil-wakil dari Sarawak dan Sabah dalam MKN adalah sangat menyedihkan. Kami merasakan bahawa kepentingan Sarawak dan Sabah perlu dilindungi pada setiap peringkat kerajaan persekutuan," katanya.

Tiada ulasan: