Ahad, 13 Disember 2015

SEMUANYA SALAH MAHATHIR...

shahbudindotcom

 
 
 
Jika sebelum ini semua perkara dalam negara adalah salah Anwar Ibrahim, tetapi setelah bekas Ketua Pembangkang itu berada dalam penjara dan Tun Mahathir Mohamad pula menjadi pengkritik utama kepada Najib Razak, kini segala-galanya cuba diletakkan di bahu bekas Perdana Menteri itu.

Salleh Said Keruak beberapa hari lalu mengingatkan bahawa kesalahan harus diletakkan kepada Tun Mahathir jika BN mencapai prestasi buruk dalam pilihanraya akan datang berikutan tindakan berterusannya mengkritik Perdana Menteri.

Seorang perwakilan daripada Kelantan, Alwi Che Ahmad juga menyalahkah bekas Tun Mahathir atas kejatuhan BN serta kegagalannya menawan kembali negeri itu daripada Pas dalam beberapa pilihanraya yang lepas.

Kita juga selalu mendengar banyak kenaikan lain seperti tol dan sebagainya turut dikaitkan dengan Tun Mahathir atau dasar-dasar yang diperkenalkannya ketika memerintah dahulu.

Pendeknya sekarang ini, semua perkara adalah salah Tun Mahathir.

Dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO, antara yang disentuh oleh Najib ialah kenaikan tambang ERL dari KL Sentral yang dinaikkan daripada RM35 kepada RM55 sehala.

Kata Najib, kenaikan itu adalah kerana perjanjian berat sebelah yang ditandatangani pada 1997 iaitu ketika era pentadbiran Tun Mahathir yang mensyaratkan kenaikan setiap lima tahun.

Katanya, meskipun kenaikan tambang ERL dapat dihalang kenaikannya selama kira-kira 14 tahun, tetapi kerajaan terpaksa membayar pampasan berjumlah RM2.9bilion.

Dalam hal ini, tentu kita tertanya-tanya, apakah kerajaan yang ada sekarang tidak mempunyai kuasa sama sekali untuk merundingkan semula terma-terma perjanjian dengan syarikat pemegang konsesi demi kepentingan rakyat?

Dalam kes ERL misalnya, selain syarikat swasta, bukankah syarikat berkaitan kerajaan turut menjadi pemegang sahamnya?

Kenapa tidak cuba dirundingkan semula syarat-syarat perjanjian sedangkan kerajaan adalah pihak paling berkuasa untuk berbuat demikian?

Bukankah berkali-kali kerajaan melaungkan inginkan kuasa untuk menolong rakyat?

Kalau kerajaan yang ada sekarang hanya akur saja dengan keputusan pentadbiran terdahulu, kenapa pula perlaksanaan rel berkembar dari Padang Besar ke Johor Bahru dan pembinaan Jambatan Bengkok yang sudah diluluskan, boleh dibatalkan sebaik Tun Mahathir tidak lagi berkuasa?

Apakah menyalahkah Tun Mahathir merupakan jalan mudah untuk menutup kelemahan diri sendiri?

Jika semuanya salah Tun Mahathir, adakah Najib tidak bersalah atau tidak boleh diletakkan sebarang beban sama sekali atas perkara-perkara yang menjadi keresahan rakyat sekarang ini?

Bersih dan suci sangatkah manusia yahg bernama Najib itu?

Naik tambang ERL bukan kesalahan Najib. Naik tol tidak salah. Gagal tawan Kelantan tidak salah dan jika kalah teruk dalam pilihanraya akan datang pun bukan salahnya juga.

Semuanya salah Tun Mahathir. Dan Najib tidak pernah bersalah sama sekali.

Barangkali itulah sebabnya menerima wang RM2,600 juta dan mengakibatkan hutang setinggi RM42 bilion kepada 1MDB dalam urusniaga yang banyak meragukan turut tidak dianggap suatu kesalahan juga kepada Najib. 
 
 
 

Tiada ulasan: