Selasa, 29 Disember 2015

Selepas kecoh isu ‘2 kerja’, Kit Siang beritahu Kabinet berhenti jadi ‘pelawak’

THE MALAYSIAN INSIDER


Lim Kit Siang menggesa Datuk Seri Najib Razak mengambil peluang Parlimen Khas pada akhir Januari untuk membentangkan semakan semula bajet serta satu pelan tindakan ekonomi khas bagi rakyat Malaysia untuk menghadapi tahun baharu yang sukar dan tidak menentu. – Gambar fail The Malaysian Insider, 29 Disember, 2015.Lim Kit Siang menggesa Datuk Seri Najib Razak mengambil peluang Parlimen Khas pada akhir Januari untuk membentangkan semakan semula bajet serta satu pelan tindakan ekonomi khas bagi rakyat Malaysia untuk menghadapi tahun baharu yang sukar dan tidak menentu. – Gambar fail The Malaysian Insider. 
 
Putrajaya perlu menyemak semula Bajet 2016 dan merangka pelan pembangunan ekonomi khas untuk menyelesaikan isu kos sara hidup yang tinggi, bukannya memberitahu orang ramai agar melakukan 2 pekerjaan, kata Lim Kit Siang hari ini.

Ketua Parlimen DAP itu berkata, dengan tahap yang diambil Kabinet sekarang, mereka bakal menjadi pelawak.

"Daripada menteri dan timbalan menteri menjadi pelawak, kerajaan perlu menggubal satu rangka tindakan ekonomi untuk meningkatkan produktiviti dan pendapatan rakyat – iaitu apa yang Bajet 2016 oleh Najib gagal lakukan," kata Lim dalam satu kenyataan pagi ini.

"Datuk Seri Najib Razak perlu mengambil peluang Parlimen Khas pada akhir Januari untuk membentangkan semakan semula bajet serta satu pelan tindakan ekonomi khas bagi rakyat Malaysia untuk menghadapi tahun baharu yang sukar dan tidak menentu." 
 
Lim berkata demikian sebagai respons kepada Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan yang mengatakan kerajaan menggalakkan rakyat melakukan 2 pekerjaan untuk menampung kos hidup lebih tinggi.

Cadangan Ahmad menerima cemuhan dan kritikan, dan kemudian mempertahankan diri dengan mengatakan beliau mempunyai 3 pekerjaan iaitu sebagai timbalan menteri, ahli Parlimen Pontian dan ketua penerangan Umno.

Malangnya ia juga memakan diri sendiri.

Pelawak tempatan Harith Iskander menyindir Ahmad melalui Facebook dan Twitter, yang walaupun beliau dikenali sebagai pengacara, penulis dan pelakon, tidak bermakna beliau melakukan banyak pekerjaan.

"Apabila pelawak seperti Harith Iskander mengumumkan kesalahan menteri bukan hanya di atas pentas, tetapi dalam domain awam, saham menteri dan timbalan menteri jatuh kepada paras lebih rendah," kata Lim hari ini.

Beliau berkata Harith adalah betul dalam mengatakan terdapat perbezaan antara mempunyai pekerjaan dan jawatan yang berbeza.

Lim berkata, mengikut definisi Ahmad, Najib mempunyai paling banyak pekerjaan di negara ini, memandangkan beliau memegang 2 portfolio iaitu ahli Parlimen, presiden Umno dan Barisan Nasional, dan pengerusi kepada "lembaga dan suruhanjaya syarikat berkaitan kerajaan yang tidak terkira banyaknya.”

"Tidak lama lagi, pelawak seperti Harith terpaksa berhenti bekerja kerana menteri seperti Ahmad Maslan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, Datuk Paul Low dan juga Najib akan mengambil alih tugas mereka," kata Lim.


Tiada ulasan: