Khamis, 17 Disember 2015

Selangor fokus tingkat pembangunan OKU

Oleh: HAFIZAN TAIB


SHAH ALAM: Konvensyen OKU Selangor 2015 memberi fokus mempertingkat pembangunan dan kemudahan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) di Selangor.

Pengarah Kebajikan Masyarakat Selangor, Zuhaimi Omar, berkata menerusinya semua maklumat berkaitan pembangunan OKU dapat dibincangkan bersama pihak berkepentingan.

Katanya, komitmen berterusan Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan diyakini mampu memberdaya golongan itu seiring kemajuan golongan lain.

Konvensyen OKU“Ia juga menggalakkan pembangunan inklusif berasaskan komuniti, memudahkan penukaran informasi dan komunikasi dalam kalangan NGO dan OKU serta mendapatkan maklumat bagi meningkatkan perkhidmatan kerajaan,” katanya dalam ucapan di konvensyen terbabit di sini, semalam.

Turut hadir, Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi.

Konvensyen terbabit juga diadakan sebagai salah satu aktiviti meraikan Hari OKU disambut pada 3 Disember setiap tahun dengan sambutan peringkat Selangor pada 17 Disember ini.

Katanya, berdasarkan statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 15 peratus daripada penduduk di sesebuah negara adalah terdiri dari golongan OKU dan Selangor sendiri mempunyai kumpulan OKU teramai berbanding negeri lain iaitu kira-kira 200,000 orang daripada jumlah keseluruhan 5.6 juta penduduk.

“Sehingga 14 Disember lalu, seramai 55,542 OKU telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor dan dengan penganjuran pelbagai program diharap pendaftaran mereka dapst ditingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya.-nR-


Tiada ulasan: