Rabu, 9 Disember 2015

Sekutu pemuafakatan PAS adalah rakyat, kata Dr Zuhdi

 Oleh Muhammad Asyraf Azlan

 
Post Pic



SHAH ALAM: PAS bukanlah sekutu Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) tetapi bersekutu dan bermuafakat dengan rakyat, kata Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP), Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

Katanya, peta jajaran politik baru ini menjalin pemuafakatan langsung dengan rakyat digagaskan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang.

“Pembentukan blok sekutu baru ini digagaskan bersama ratusan kumpulan masyarakat madani (NGO) dan tokoh perseorangan bermula dengan penganjuran Kongres Rakyat Peringkat Nssional,” katanya.

Beliau berkata, wawasan presiden itu mula diusahakan selepas muktamar PAS Jun lalu yang menyaksikan PAS berhubung langsung dengan rakyat dan “tidak lagi berperantarakan parti-parti politik”.

“Blok sekutu ini tidak pro-BN dan tidak PH, sebaliknya pro-rakyat. Dalam menangani sesuatu isu, pendekatan PAS ialah memenuhi hasrat dan kepentingan rakyat bukan untuk mileage politik parti politik atau tokoh tertentu,” katanya.

Dalam satu kenyataan media, Dr Zuhdi mengakui mutakhir ini ada pendirian dan tindakan PAS dilihat memihak kepada kerajaan dan ada juga yang dirumuskan sebagai bertentangan dengan kehendak kerajaan.

Dr Zuhdi berkata, PAS sebelum ini menolak perancangan sesetengah pihak yang mahu menumbangkan kerajaan melalui cara yang tidak lazim bagi sesebuah negara yang mengamalkan pilihanraya.

Katanya, PAS memilih untuk menentang cara berkenaan kerana “kaedah ini akan menjerumuskan negara kepada ketidakstabilan berpanjangan”.

“Kemudian PAS mengambil sikap berkecuali dalam pengundian meluluskan Bajet 2016 disebabkan ada manfaat dalam bajet tersebut yang boleh diperolehi rakyat,” tambahnya.

Manakala bagi mengatasi perkara yang membebankan rakyat dalam Bajet 2016, tegas beliau, PAS telah mengemukakan cadangan balas yang realistik.

Dr Zuhdi berkata, pendekatan PAS ini juga digunapakai dalam menangani isu rakyat dan negara seperti Perjanjian Perdagangan Trans-Pasifik (TPPA).

“Apabila kerajaan mulai bersedia menandatangani perjanjian itu awal tahun hadapan, PAS bersama kumpulan masyarakat madani dan tokoh perseorangan akan membuat bantahan besar-besaran,” tegasnya.

Pendirian tegas ini diambil, katanya, kerana PAS yakin TPPA adalah satu bentuk “penjajahan baru” dan merugikan negara dan rakyat.

Dr Zuhdi berkata, perubahan pendekatan yang diterokai oleh presiden PAS adalah satu lambang kematangan politik dan anjakan baru ke arah mentaliti politik kelas pertama.

“Yang terkini, presiden PAS bersedia bersama perdana menteri dalam forum bercakap tentang perpaduan ummah dalam Multaqa Serantau Alumni Al Azhar,” katanya.

Dr Zuhdi berkata, langkah PAS ini membuktikan ia adalah parti politik yang matang yang meletakkan kepentingan ummah dan rakyat Malaysia khususnya sebagai keutamaan.


Tiada ulasan: