Sabtu, 5 Disember 2015

Saya sama dengan Tun Razak, bukan Najib, kata Dr Mahathir



Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tiada 1 pun corak pentadbiran Datuk Seri Najib Razak menyamai apa yang dilakukannya ketika mentadbir kerajaan selama 22 tahun sejak 1981. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 5 Disember, 2015.  
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tiada 1 pun corak pentadbiran Datuk Seri Najib Razak menyamai apa yang dilakukannya ketika mentadbir kerajaan selama 22 tahun sejak 1981. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari. 
 
 
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tiada 1 pun corak pentadbiran Datuk Seri Najib Razak menyamai apa yang dilakukannya ketika mentadbir kerajaan selama 22 tahun sejak 1981. 
 
Beliau menepis wujud sebarang persamaan antara pentadbiran perdana menteri sekarang dengan era pemerintahannya, sebaliknya menyifatkan corak pentadbirannya sama dengan bapa Najib, Tun Abdul Razak Hussein.

"Mana ada. Apa yang Najib buat sama dengan saya buat? Dia punya hutang RM42 bilion. Dia buat syarikat sendiri. Dia jadi penasihat syarikat. Saya tak pernah buat.

"Macam mana orang boleh kata saya macam dia? Saya pun tidak faham. (Kalau kata) Saya macam bapa dia, ya," kata Dr Mahathir pada majlis Wacana Bersama Anak Muda Negeri Sembilan di Senawang hari ini. 
 
Dr Mahathir berkata, semasa memegang tampuk kuasa, banyak polisi yang dilaksanakannya sama dengan Tun Razak, di mana pembangunan luar bandar menjadi keutamaan.

"Bapa dia utamakan pembangunan orang Melayu.

"Masa saya jadi perdana menteri, saya buat jalan, saya buat sekolah, kita buat klinik. Saya buat macam-macam di kampung," katanya.

Malah, Dr Mahathir menegaskan, kerajaan diperintahnya tidak pernah terpalit dengan skandal seperti dihadapi pentadbiran Najib ketika ini yang banyak merugikan negara.

"Tetapi, yang Najib buat adalah, duit hutang banyak, sembunyi duit dalam akaun dia sampai RM2.6 bilion. Saya tak ada.

"Dalam akaun saya ada lah duit sikit, tetapi tak sama," katanya.

Dr Mahathir sebelum ini antara penyokong kuat Najib, tetapi bertukar angin susulan pelbagai skandal menyelubungi pentadbiran perdana menteri itu, seperti isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan wang derma RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya.

Pengkritik paling lantang Najib itu juga mendesak supaya beliau meletak jawatan sebelum Umno tewas dalam pilihan raya umum nanti.


Tiada ulasan: