Ahad, 6 Disember 2015

Sampai bila Muhyiddin mahu jadi 'tunggul'?

Al-Abror Mohd Yusuf 





http://www.malaysiakini.com/news/321881Tidak terbayangkan apakah ada lagi bahasa tersirat yang lebih menyinggung seorang timbalan presiden sebuah parti daripada dihalang berucap kepada ahli yang menyokong pertubuhan berkenaan.

Lebih-lebih lagi di majlis yang diadakan hanya setahun sekali, dan mengikut tradisi timbalan presiden itulah yang berucap bagi merasmikan sayap parti berkenaan.

Walaupun tidak termaktub dalam perlembagaan, ia adalah sebahagian daripada tradisi yang tidak pernah dibantah sebelum ini.

Namun pada 2015, nasib Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak secantik tahun-tahun sebelum ini.

Tanpa jawatan timbalan perdana menteri, Muhyiddin masih seorang timbalan presiden parti yang disanjungnya. Masalah Muhyiddin ketika ini ialah, dia sendiri tidak disanjung oleh sesetengah daripada ahli Umno.

Di peringkat akar umbi - dan dengan syarat semua maklumat dapat sampai kepada ahli dengan adil - Muhyiddin masih dihormati. Bekas menteri besar Johor itu bukan sembarangan orang.

Tiba-tiba Muhyiddin berasa dia mahu dijadikan tunggul kayu mulai 8 Disember ini.

Bagai luka yang diperah titisan limau, pengurusan Umno memberitahu Muhyiddin belum tentu dapat berucap di sesi penggulungan Perhimpunan Agung Umno kali ini.

Malu jadi Jebat

Kali ini selama lima hari - mulai Umno akan bersidang berbahas di depan 5,738 perwakilan termasuk dari wanita, pemuda dan puteri.
Berucap menggulung perbahasan juga salah satu tradisi parti. Ia adalah masa untuk seseorang pemi
mpin menjawab, menjelas, menanya (dan sesekali melawak) untuk menghargai ribuan perwakilan yang datang.

Sesi itu pula biasanya bukan sesi biasa. Padanya ada banyak amanat penting disampaikan. Bagi media pula, ia adalah salah satu segmen penting untuk diperhatikan kerana nilai berita biasanya akan banyak di situ.

Dalam keadaan begitu Muhyiddin jadi "tunggul kayu". Umno mungkin tidak berniat menjadikan tokoh Melayu Johor itu "tunggul" namun setidak-tidaknya beliau berasa mahu dijadikan begitu.

Soalnya sekarang ialah, sampai bila Muhyiddin - seorang yang diakui tidak banyak terpalit dengan skandal bukan-bukan, anak seorang ulama dan merendah diri - mahu kekal sebagai "tunggul kayu"?

Setakat hari ini beliau masih malu-malu untuk jadi Hang Jebat. Mungkin perkiraan politik penasihat beliau mempunyai sifir tersendiri sehingga memaksanya kekal sebagai Hang Tuah.

Berhujah dengan berkias mungkin menampakkan seseorang itu tebal nilai kemelayuannya, tetapi tiada sebarang 'fatwa' yang mewajibkan kiasan itu ditanggap dengan betul.

Berlama-lama berkias pun tidak menjadi apa-apa juga. Menyampaikan maksud melalui madah gerak zapin mungkin lunak pada telinga dan enak pada jiwa namun dalam politik, kaedah itu bukanlah pendekatan yang betul.

Pada banyak keadaan, pendekatan terus terang, tanpa kias berlapis dan retorik yang menebal adalah perlu.
Sampai bila?

Keadaan semasa menunjukkan Muhyiddin perlu menjadi lebih berani. Apatah lagi selama ini beliau menguar-uarkan langkahnya bersuara lantang terhadap pemimpin atasannya adalah demi rakyat.

Rakyat memang terdesak dan cemas sekarang. Ketika kos sara hidup semakin menghimpit, tanda tanya mengenai skandal 1MDB belum benar-benar terungkai, kita diperlihatkan dengan pelbagai 'jenaka' yang menggerunkan.

Kenaikan tambang perkhidmatan awam, pertambahan kadar tol, undang-undang yang mencemaskan adalah antara kerisauan rakyat. Mahu mengharap kepada pembangkang memanglah boleh tetapi lihat saja apa yang berlaku di parlimen sehari dua ini.

Maka antara harapan yang ada pada rakyat tertanggung pada bahu Muhyiddin. Beliau perlu lebih berani bersuara "demi rakyat" seperti yang dinyatakan sebelum ini.

Secara analogi, jika perlu menghunus keris, hunuslah segera. Andainya terlucut jawatan, biarlah. Bukankah kehilangan kebesaran dan pangkat atas nama rakyat itu jauh lebih dihormati?

Melayari bahtera menempuh badai pula tentu lebih jantan berbanding hanya bermain-main anak ombak di gigi air.

Menjelang Perhimpunan Agung Umno kali ini, adakah Muhyiddin akan bertindak sebagai anak lelaki?
Sampai bila nak dijadikan "tunggul", Tan Sri?


Tiada ulasan: