Jumaat, 4 Disember 2015

RUU MKN 2015 bawa Malaysia ke negara diktator-PKR

 
Ia disifatkan sebagai suatu percubaan terang-terangan oleh Perdana Menteri ke arah pemusatan kuasa bagi dirinya.


Syed-Ibrahim-Syed-Noh.,najib-razak


PETALING JAYA: PKR mempersoalkan majoriti mudah yang diperolehi kerajaan sewaktu pengundian Rang Undang-undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2015.

Ia mendakwa pengundian telah dibuat secara tergesa-gesa pada hari terakhir Sidang Dewan Rakyat untuk tahun ini (2015).

“Walaupun Rang Undang-undang berkenaan membawa implikasi besar dalam konteks prinsip demokrasi, kedaulatan negara dan hak asasi manusia, namun ia telah dibawa dengan tergesa-gesa oleh Kerajaan UMNO-BN pada hari terakhir sidang parlimen dan diluluskan dengan majoriti mudah,” tulis Ketua Penerangan PKR, Syed Ibrahim Syed Noh.

Dalam kenyataan yang sama, PKR turut membangkitkan tujuh isu terhadap implikasi RUU MKN 2015:

1. Perdana Menteri boleh merampas kuasa Yang Di-Pertuan Agong yang diperuntukkan di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan

2. Perdana Menteri diberikan kuasa tanpa had untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan di Malaysia sebagai “kawasan keselamatan”

3. Keseluruhan undang-undang bersifat terlalu umum, tidak jelas dalam kebanyakan takrifannya, serta bidangkuasa yang amat luas diberikan kepada Majlis Keselamatan Negara untuk menentukan sesuatu sebagai isu keselamatan

4. Kuasa yang luas diberikan kepada pasukan keselamatan untuk mengabaikan hak-hak asasi manusia, kebebasan dan perlindungan untuk seorang warganegara biasa dalam “kawasan keselamatan”; hak jaminan perlindungan kepada seorang warganegara biasa dicabuli.

5. Terdapat peruntukan yang membolehkan penggunaan kekerasan munasabah dan “perlu” sedangkan “kekerasan perlu” tidak dijelaskan;

6. Terdapat kuasa untuk mengetepikan inkues (siasatan kematian) terhadap anggota pasukan keselamatan dan orang yang dibunuh dalam kawasan keselamatan selagi Majistret berpuas hati bahawa orang itu telah terbunuh dalam kawasan keselamatan akibat daripada operasi yang dijalankan oleh pasukan keselamatan untuk tujuan menguatkuasakan mana-mana undang-undang bertulis

7. Rang Undang-undang ini melindungi ahli-ahli Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan jawatankuasanya daripada apa-apa jenis tindakan prosiding sivil dan jenayah. Justeru menyebabkan mereka tidak dipertanggungjawabkan atau boleh didakwa di atas tindakan mereka.

Dakwanya, Malaysia tidak memerlukan RUU sebegini, apatah lagi telah wujudnya pelbagai undang-undang keselamatan yang lain.

Bahkan ia disifatkan sebagai suatu percubaan terang-terangan oleh Perdana Menteri ke arah pemusatan kuasa bagi dirinya dan boleh membawa Malaysia terjerumus sebagai negara diktator.

Tiada ulasan: