Selasa, 15 Disember 2015

Rizalman ada motif seksual ketika menyerang, kata hakim NZ

 THE MALAYSIAN INSIDER

Mohammed Rizalman Ismail besar kemungkinan berada di bawah pengaruh ganja sintetik ketika melakukan serangannya terhadap seorang wanita Wellington, Tania Billingsley pada 2014. – Gambar fail AFP, 15 Disember, 2015. 
Mohammed Rizalman Ismail besar kemungkinan berada di bawah pengaruh ganja sintetik ketika melakukan serangannya terhadap seorang wanita Wellington, Tania Billingsley pada 2014. – Gambar fail AFP.
 
 
 
Bekas diplomat Malaysia, Mohammed Rizalman Ismail mempunyai motif seksual dalam serangannya terhadap seorang wanita Wellington pada 2014, menurut mahkamah New Zealand hari ini. Akhbar The New Zealand Herald melaporkan mahkamah itu berkata, Rizalman yang mengaku bersalah menyerang Tania Billingsley, cuba menjampinya dengan meninggalkan najis di ruang patio rumah beliau.

"Rizalman mempunyai motif seksual apabila dia mengekori Billingsley ke rumahnya pada petang 9 Mei, 2014, dan apabila dia masuk ke bilik tidurnya dengan tidak berpakaian daripada paras pinggang ke bawah," Hakim David Collins dipetik sebagai berkata.

"Rizalman mungkin mengalami 'pemahaman yang berkurangan' ketika melakukan serangan sumbang itu ke atas Billingsley. 
 
"Bagaimanapun, kemungkinan 'pemahaman yang berkurangan' Rizalman ini tidak menjadi faktor peringan kerana pada masa dia melakukan kesalahan itu, Rizalman besar kemungkinan berada di bawah pengaruh ganja sintetik."

Rizalman sebelum ini dilaporkan berkata dia mempercayai ilmu hitam, menghisap ganja dan membeli dadah sintetik.

Dia juga mengaku membuang air besar di hadapan rumah Billingsley, tetapi menafikan ia ilmu hitam untuk jampi pengasih ke atas Billingsley.

"Saya tidak tahu kerana saya tidak pernah mengamalkannya," Rizalman dilaporkan sebagai berkata.

Ringkasan fakta dibacakan di Mahkamah Tinggi New Zealand berkata pada 9 Mei tahun lepas, Billingsley berada di rumahnya di Brooklyn, Wellington, apabila mendengar ketukan di pintu bilik tidurnya.

Rizalman kemudian dilaporkan masuk dalam keadaan telanjang daripada paras pinggang ke bawah. Dia menjerit dan bergelut melawan, berjaya menolaknya keluar dari rumah sebelum memanggil polis.

Dia didakwa memberitahu polis mereka pernah ke panggung wayang bersama-sama hari itu. Bagaimanapun, tidak diketahui sama ada Billingsley bersetuju dengan kenyataan itu.

Katanya, beliau membuang air besar di luar rumah kerana mengalami cirit-birit.

Peguamnya berkata Rizalman berada dalam keadaan "mental yang tidak normal" pada masa kejadian.

Tambahnya, doktor mendapati tekanan, kebimbangan, kemungkinan kemurungan dan penyalahgunaan dadah sebagai penyebab keadaan mental Rizalman.

Serangan sumbang boleh membawa hukuman penjara maksimum 7 tahun di New Zealand.


Tiada ulasan: