Jumaat, 4 Disember 2015

Rakyat Malaysia terkandas banjir di Chennai minta bantuan

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
CHENNAI:  Susulan ramalan berlaku hujan lebih kerap oleh Jabatan Meteorologi India, lebih ramai rakyat dan pelancong Malaysia yang terkandas di ibu negara Tamil Nadu, Chennai meminta bantuan daripada Pejabat Konsul Jeneral Malaysia.
 
Beberapa orang warga Malaysia ketika dihubungi berkata mereka bimbang kerana hotel-hotel di bandar raya itu kekurangan makanan dan bekalan elektrik bertahan hanya bagi beberapa jam sahaja.
 
Pasangan suami isteri dari Klang, K. Kamalakannan dan N. Kasthuri berkata terdapat ramai rakyat Malaysia di hotel penginapan mereka di T Nagar, iaitu kawasan membeli-belah yang popular di kalangan rakyat Malaysia.
 
"Kami sedar tentang gelombang pertama banjir yang melanda Chennai kira-kira dua minggu lepas tetapi diberitahu situasi paling buruk itu berlalu dan kami mengambil keputusan untuk menghadiri festival keagamaan di Tiruvanamali, kira-kira 250 kilometer dari New Delhi.
 
"Kami sepatutnya menaiki penerbangan hari ini tetapi kerana lapangan terbang ditutup sehingga 6 Disember, kami cuba menggunakan perkhidmatan bot untuk membawa kami ke tempat lebih tinggi supaya kami dapat pulang sama ada melalui Lapangan Terbang Tiruchi atau Lapangan Terbang Antarabangsa Bengaluru di Karnataka," kata Kannan.
 
Seorang wanita dikenali sebagai Sonia Nair Vijaya Kumar memuat catatan melalui tweeter dari kawasan yang sama di Chennai: "Air melimpah masuk ke kawasan hotel kami... paras air semakin naik."
 
Konsul Jeneral R.Citra Devi ketika dihubungi berkata hampir 30 pelajar Kolej Pergigian Meenakshi Ammal di Maduravoyal di Chennai, sempat mencari jalan menuju ke lapangan terbang lain dan sudahpun kembali ke Malaysia.
 
Beliau berkata hanya 4 hingga 5 pelajar masih berada di asrama.
 
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri India Narendra Modi dijangka melawat ke kawasan-kawasan terjejas banjir di Chennai lewat hari ini.
 
"Berlepas ke Chennai untuk meninjau situasi akibat banjir buruk yang melanda," kata perdana menteri India itu menerusi catatannya dalam Twitter. – Bernama
 
 

Tiada ulasan: