Ahad, 20 Disember 2015

Rakyat Malaysia maut tangki stim di UAE meletup

Mangsa letupan tangki produk berasaskan bahan plastik di Abu Dhabi
Mangsa letupan tangki produk berasaskan bahan plastik di Abu Dhabi, Arab Saudi , Mohd Shukri Sulaiman, 45 (belakang,kanan) awal Sabtu lalu, bergambar bersama isteri Azmahani Mamat (dua kanan belakang) dan empat anaknya ketika pulang bercuti baru-baru ini. - Foto Bernama


BESUT - Seorang pekerja daripada Malaysia terbunuh apabila sebuah tangki stim atau dandang stim (boiler) meletup di sebuah kilang berasaskan plastik di kawasan berasaskan petrol kimia di Ruwais, Abu Dhabi, Emirias Arab Bersatu (UAE) awal pagi Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi waktu Malaysia (8.30 pagi waktu tempatan) menyebabkan  Mohd Shukri Sulaiman, 45, yang bekerja dengan  Al-Borouge Pte Company Limited sebagai seorang jurudandang (boilerman) sejak tahun 2011 lalu meninggal di tempat kejadian.

Adik mangsa Faizol Sulaiman, 35, yang ditemui di rumah keluarganya di sini berkata, dia sekeluarga mengetahui kejadian itu setelah menerima panggilan telefon daripada rakan abangnya, Ahmad Syukri Md Nor, 33, yang bekerja di syarikat sama pada jam kira-kira 2 pagi (waktu Malaysia) sejurus kejadian.

Menurutnya, Ahmad Syukri yang bekerja dengan Pasukan Bomba di syarikat itu telah memaklumkan kepada kami dia terdengar letupan kuat dan apabila bergegas ke tempat kejadian mendapati mangsa telah meninggal dunia.

Faizol berkata, Ahmad Syukri juga berasal dari Kampung Padang Landak di sini bekerja di syarikat sama dengan abangnya sejak beberapa tahun tetapi mereka di bahagian berlainan manakala  hubungan mereka berdua amat rapat.

Menurutnya, seluruh anggota keluarga terkejut menerima berita itu dan pihak syarikat pun juga telah memaklumkan kejadian itu.

“Pihak syarikat telah memanggil salah seorang untuk ke sana (UAE) bagi urusan pengesahan dan menuntut jenazah. Salah seorang abang saya, Saria, 52, yang menetap di Kampung Padang Luas di sini  akan berlepas ke negara tersebut hari ini untuk tujuan tersebut.

Menurutnya lagi, abangnya  merupakan anak yang ke 6 daripada 11 orang adik beradik yang mendapat didikan awal di Sekolah Menengah Tengku (SMK) Tengku Mahmud, Besut sebelum melanjutkan persekolahan  Sekolah Menengah Teknik, Kuala Terengganu.

Katanya,  Mohd Shukri mempunyai kelulusan diploma Kejuruteraan Mekanikal dari Politeknik Kulim Kedah dan pernah bekerja beberapa syarikat berkaitan bidangnya sebelum ini termasuk pernah berkhidmat di Amerika Syarikat.

“Arwah mempunyai seorang isteri, seorang guru, Azmahani Mamat, 43, dan empat orang anak, tiga lelaki dan seorang perempuan berumur antara 7 hingga 14 yang  tinggal di Indera Mahkota, Kuantan, Pahang,” katanya.


Tiada ulasan: