Jumaat, 18 Disember 2015

Putrajaya perlu hormati kebebasan bersuara, batal Akta MKN

Oleh Hanipa Maidin


Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 3 Disember 2015 dengan 104 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) mengundi menyokong rang undang-undang tersebut.

Memandangkan Rang Undang-undang MKN tersebut antara lain mengambil kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Artikel 150 Perlembagaan Persekutuan, maka ia bukan sahaja mempersoalkan kuasa Agong tapi ia lebih daripada mempersoalkan kuasa dan budi bicara baginda iaitu merampas sama sekali kuasa ketua negara itu.

Oleh itu jika kita mengambil kira seksyen 3 (1) (a), (b), (d) dan (f) Akta Hasutan 1948, maka tindakan semua ahli Parlimen BN yang menyokong Rang Undang-undang MKN tersebut adalah jelas melakukan kesalahan menghasut di bawah Akta Hasutan.

Malahan saya berani menyatakan termasuk yang melakukan kesalahan tersebut adalah Speaker dan timbalan Speaker Dewan Rakyat yang membenarkan Rang Undang-undang MKN dibentangkan dan dibahaskan dalam Dewan Rakyat.

Akta Hasutan tidak memberi kekebalan kepada mana-mana ahli Parlimen hatta ketika mereka melaksanakan tugas mereka berbahas di dalam Dewan Rakyat. Malahan Akta Hasutan juga tidak mengambil kira niat seseorang.

Di dalam kes Pendakwa Raya lawan mendiang Karpal Singh, Mahkamah Rayuan memutuskan kenyataan mendiang yang menyatakan Almarhum Sultan Perak boleh disaman dalam kes rampasan kuasa Perak adalah menghasut kerana mendiang didakwa mempersoalkan budi bicara Sultan berkaitan isu pelantikan menteri besar.

Jika kita bersandar kepada keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Karpal tersebut, adalah jelas yang dilakukan oleh ahli Parlimen BN pada 3 Disember 2015 ketika meluluskan Rang Undang-undang MKN yang lalu adalah lebih dahsyat lagi.

Rang Undang-undang MKN 2015 bukan sahaja mempersoalkan kuasa atau budi bicara Agong di dalam Artikel 150 Perlembagaan Persekutuan, sebaliknya Rang Undang-undang MKN tersebut merampas sama sekali kuasa dan budi bicara baginda dan diberi kuasa dan budi bicara tersebut kepada perdana menteri. Lebih jelas lagi pelanggaran Akta Hasutan 1948.

Menteri menyatakan dalam Parlimen Rang Undang-undang MKN dapat perkenan peguam negara, maka bagi saya Peguam Negara juga sebagai pihak yang menasihati Kerajaan dalam penggubalan RUU tersebut juga boleh didakwa di bawah Akta Hasutan.

Jika begitu, adakah Amanah menyokong semua mereka di atas didakwa di bawah Akta Hasutan?

Pendirian Parti Amanah Negara (Amanah) adalah kami menolak Akta Hasutan iaitu warisan undang-undang penjajah. Amanah tidak sokong Akta Hasuta tersebut, maka Amanah juga tidak menyokong sesiapa pun hatta musuh politik Amanah disiasat jauh sekali didakwa di bawah Akta Hasutan.

Walaupun Kerajaan BN telah menyalahgunakan Akta Hasutan dengan mendakwa musuh mereka di bawah akta zalim itu, Amanah tidak mahu akta yang sama digunakan kepada BN meskipun BN secara jelas melanggar akta tersebut.

Sebaliknya Amanah mahu Kerajaan gunakan kuasa mereka dengan menarik balik atau membatalkan kedua-dua undang-undang drakonian tersebut iaitu Akta Hasutan dan Rang Undang-undang MKN.

Amanah mahukan kerajaan yang menghormati kebebasan bersuara dan juga menghormati kemuliaan seorang insan. Bersama sama kita tolak Rang Undang-undang MKN dan Akta Hasutan.

* Mohamed Hanipa Maidin ialah pengerusi Biro Undang-undang Amanah dan ahli Parlimen Sepang.

Tiada ulasan: